Rasuah kurang dengan penjajaran baharu Umno, kata Shahrir


Mohd Farhan Darwis

Shahrir Samad yakin jajaran baru Umno akan membawa perubahan dan menjadikan ia sebagai parti politik moden. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Mei, 2021.

PENJAJARAN baharu yang diuar-uarkan Umno waktu ini bermaksud memisahkan kerajaan dan parti politik untuk mengekang rasuah, kata veteran parti itu Shahrir Samad.

Katanya penjajaran baharu itu katanya akan memberi ruang Umno memodenkan parti dan mampu menyelesaikan masalah pentadbiran politik dalam negara.

“Saya ada keyakinan jajaran baru Umno akan membawa perubahan dan menjadikan Umno sebagai parti politik moden.

“Dari fahaman saya penjajaran baharu itu adalah pemisahan parti dengan kerajaan. Parti itu parti, kerajan itu kerajaan. Pemerintah di kalangan ahli Parlimen yang duduk di Kabinet.

“Parti beri pendidikan politik. Kerajaan beri duit untuk parti berjalan, manakala parti itu dilihat sebagai sebuah institusi pengajian demokrasi yang harus dijaga,” kata Shahrir.

Beliau tampil menjelaskan penjajaran baharu yang disebut-sebut pemimpin parti selepas perhimpunan agung Umno pada Mac.

Shahrir berkata, beliau melihat melalui kaedah penjajaran baharu itu, parti politik menjadi lebih bebas selain mampu mengekang amalan rasuah dalam kalangan ahli politik.

“Kerajaan hari ini (dipimpin) ahli politik. Dengan penjajaran baharu kakitangan awam lebih bebas. Bagi saya lebih baik begitu kerana menteri kurang korup.

“Menteri tak perlu cari projek, ahli Parlimen fokus bekerja tak berebut projek. Ini keadaan lebih baik bagi parti,” kata Shahrir.

Tambahnya, penjajaran baharu itu juga akan lebih memperkasa dan meningkatkan kedudukan parti politik dalam negara.

“Saya nampak penjajaran baharu adalah pengasingan parti politik daripada kerajaan, parti lebih bebas, mereka ada polisi sendiri, dan dibawa dalam kerajaan oleh menteri yang mewakili parti.

“Ada perkongsian maklumat kerajaan dengan parti. Adalah caranya, tapi ada perbezaan antara parti dan kerajaan,” kata Shahrir.

Jelasnya, ramai silap faham bahawa penjajaran baharu itu akan melibatkan kerjasama antara parti politik konservatif seperti Umno dan sekular seperti DAP dan PKR.

Mengulas lanjut, kerjasama itu sukar untuk berlaku walaupun tidak mustahil.

“Penjajaran baharu ini ada fahaman macam-macam. Ada fahaman soal antara konsevatif dengan sekular.

“Akan ada puak yang bersama, pada saya susah benda itu nak berlaku. Mungkin lepas PRU15 kalau ada seri (kerusi di Parlimen) itu mungkin akan berlaku.

“Orang rasa ada penjajaran baharu bersama Umno, DAP, PKR, dan PAS sedangkan kita baru buat keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno tak nak PKR, DAP, dan Bersatu,” kata Shahrir lagi.

Shahrir bercakap dalam wawancara bersama Majlis Profesor Negara yang disiar secara langsung di media sosial hari ini. β€“ 4 Mei, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen