23 maut bom kereta meletup di Syria


Anggota kecemasan Syria mencari mangsa letupan bom yang berlaku di pangkalan pejuang pemberontak di bandar raya barat daya Idlib, Syria. – Gambar EPA, 4 Oktober, 2017.

SATU letupan berlaku di bandar raya Idlib, barat laut Syria pada Ahad menyebabkan 23 orang termasuk tujuh orang awam terbunuh, kata pihak pemantau.

“Letupan besar pada petang Ahad melanda pangkalan puak Ajnad al-Qawqaz di Idlib,” kata Ketua Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, sambil menambah kebanyakan mangsa bukan orang awam adalah pejuang daripada kumpulan itu.

Dia tidak menyatakan punca letupan tersebut, tetapi aktivis media sosial mengatakan ia disebabkan bom kereta.

Kebanyakan yang cedera adalah pejuang pemberontak dan pangkalan itu “hampir hancur sepenuhnya” dan bangunan yang berdekatan rosak, kata Abdel Rahman.

Kumpulan Ajnad al-Qawqaz termasuk dalam ratusan pejuang Kaukasia dan berjuang bersama Fateh al-Sham Front, bekas sekutu Al-Qaeda, untuk menolak rejim Syria di tenggara wilayah Idlib.

Kawasan itu sering berlaku pertempuran sengit berikutan serangan rejim yang bertujuan merampas lebuh raya penting yang strategik di antara Damsyik dan bandar kedua Aleppo.

Badan pemerhati berpangkalan di Britain itu, yang bergantung kepada rangkaian aktivis di seluruh Syria, berkata pasukan rejim merampas lebih 60 kampung di kawasan itu sejak 25 Disember.

Perikatan yang dikuasai oleh Fateh al-Sham mengawal kebanyakan wilayah Idlib di mana terdapat pengeboman kereta secara kerap, yang sering dipersalahkan dalam pertikaian antara puak bersenjata.

Sesetengah penduduk menyalahkan kumpulan Islamic State bagi serangan sedemikian, walaupun kumpulan itu secara terbuka kelihatan di wilayah itu. – AFP, 8 Januari, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen