Tidak minat bertanding PRU15 tetapi mungkin jika dipaksa, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sudah tidak mahu lagi bertanding dalam pilihan raya umum namun percaya penyokongnya tidak akan bersetuju dengan keputusannya itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2021.

DR Mahathir Mohamad berkata tidak mahu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang tetapi tidak menolak kemungkinan akan dipaksa oleh penyokongnya.

Bekas perdana menteri berkata beliau sudah tidak mahu lagi bertanding dalam pilihan raya umum namun percaya penyokongnya tidak akan bersetuju dengan keputusannya itu.

“Saya tak nak bertanding tapi orang saya (penyokong) susah…kalau saya kata tak nak (bertanding) mereka marah, saya tak tahu nak buat apa. 

“Saya terpaksa ikut orang yang sokong saya daripada dulu pun. Saya bukan nak bertanding pun,” katanya dalam wawancara bersama Dialetika TV, yang disiarkan secara langsung melaui Facebook, hari ini.

Dr Mahathir, 95, sekarang mewakili kawasan Parlimen Langkawi, yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket Pakatan Harapan (PH) mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Selepas pilihan raya umum pada Mei 2018 itu beliau diangkat sebagai perdana menteri untuk kali kedua tetapi pentadbirannya hanya kekal selama 22 bulan apabila partinya Bersatu menarik diri dari gabungan PH pada Februari 2020.

Dr Mahathir kemudian letak jawatan perdana menteri dan melepaskan juga jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Dalam beberapa wawancara sebelumnya Dr Mahathir menegaskan beliau terpaksa letak jawatan perdana menteri selepas hilang kepercayaan, termasuk oleh partinya sendiri.

Katanya, beliau boleh kekal jadi perdana menteri pada masa itu sekiranya PH tidak memilih untuk menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka.

Dalam wawancara dengan Dialektika yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, Dr Mahathir juga berkata beliau berpegang pada janji Anwar akan jadi penggantinya sebagai perdana menteri.

Namun oleh sebab PH tidak lagi berkuasa, katanya, Anwar juga tidak lagi mampu menjadi perdana menteri.

“Ya, saya mengaku saya beri pengakuan bila saya letak jawatan Anwar akan ambil alih. Memang saya ingin tunai janji tapi yang saya letak jawatan bukan kerana itu, tapi parti saya (Bersatu) tolak saya. 

“Lagipun PH dah hilang kuasa, saya tak boleh jadi perdana menteri, Anwar pun tak boleh jadi perdana menteri.

“Waktu saya letak jawatan PH kalah, sebab itu dia tak jadi perdana menteri. Kalau tidak, saya letak jawatan dia jadi perdana menteri,” kata Dr Mahathir.

Selepas kemelut politik pada hujung Februari 2020, PH gagal mendapatkan sokongan yang cukup untuk kembali jadi kerajaan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebaliknya dinamakan sebagai perdana menteri selepas beliau mendapat dukungan Umno dan BN, PAS dan beberapa ahli Parlimen bekas PKR serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir yang tersingkir dari Bersatu kemudiannya membentuk parti baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang kini masih menunggu kelulusan pendaftaran. – 3 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen