NGO pelawa Hamid Bador sertai perjuangan reformasi polis


Hailey Chung Wee Kye

KPN Abdul Hamid Bador pada sidang akhbar terakhirnya berkata ahli politik perlu henti campur tangan dalam urusan pasukan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2021.

ABDUL Hamid Bador patut meneruskan perjuangannya untuk membawa perubahan kepada pasukan polis dan membanteras rasuah, sebagai seorang aktivis dalam kumpulan persatuan sivil.

Mereka berkata ketua polis negara (KPN) yang bakal bersara itu boleh meneruskan perjuangannya jika beliau serius hendak mengubah pasukan polis.

Pengerusi pemantau pilihan raya Bersih 2.0 Thomas Fann berkata Hamid boleh menubuhkan unitnya sendiri untuk memerangi rasuah dalam pasukan itu atau bekerjasama dengan organisasi sedia ada.

“Beliau boleh tubuhkan organisasi persatuan sivil yang focus kepada perubahan polis atau menyertai NGO atau parti politik untuk terus mendesak pembaharuan itu.

“Pengalaman dan pemahaman beliau terhadap kelemahan system sedia ada, sangat berharga,” katanya.

Fann berkata beliau percaya ia sangat penting kerana dakwaan Hamid berkenaan campur tangan politik adalah serius, dan mengesahkan kritikan persatuan sivil di mana banyak tindakan pasukan polis, adalah kerana politik.

Pada siding akhbar terakhirnya sebagai KPN pada Jumaat, Hamid berkata negara ini dalam keadaan bahaya jika ahli politik campur tangan urusan polis.

Hamid menyelar Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, yang dakwanya melampaui batas dengan  mencampuri urusan polis.

Beliau merujuk kepada kenaikan pangkat dan pemindahan tugas membabitkan pegawai polis kanan.

“Seorang menteri tidak boleh campur tangan hal ehwal pasukan polis. Menteri hanya diberikan kuasa untuk menetapkan dasar.”

KPN itu berkata campur tangan politik dalam urusan polis perlu dihentikan serta merta untuk masa depan negara ini.

Hamid dilantik sebagai KPN ke-12 untuk penggal dua tahun bermula 4 Mei., 2019.

Hari ini hari terakhir beliau sebagai KPN, dengan Timbalan KPN Acryl Sani Abdullah Sani bakal menggantikannya.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata lebih baik jika Hamid menyertai persatuan sivil, berbanding organisasi untuk pesara polis.

“Ini kerana bila berada dalam NGO, beliau lebih bebas untuk bercakap, terutama untuk meyakinkan pemimpin negara dalam melakukan pembaharuan kepada pasukan polis,” katana.

Hamid juga boleh meneruskan kerja berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang menjadi langkah pertama untuk meningkatkan imej polis. – 3 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen