Kadar penghunian ICU di hospital Lembah Klang mencapai 90%


Enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati melebihi ambang amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2021. 

KADAR penghunian Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital Lembah Klang mencapai 90% setakat hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan di Facebook beliau berkata bahawa sebanyak enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati melebihi ambang amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus.

Enam hospital tersebut adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. 

Katanya beberapa hospital ini juga mencapai kapasiti katil 100% dan penggunaan ICU. 

Noor Hisham berkata Pusat Perubatan Universiti Malaya melaporkan 50% penggunaan katil di unit ICU. 

Sementara itu katanya Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital pesakit Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil ICU secara berperingkat bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

“KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

“Pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19,” katanya sambil menambah bahawa langkah ini akan membolehkan pegawai perubatan dikerahkan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi merawat pesakit Covid-19.

Beliau juga berkata bahawa 63 pesakit ICU dengan lebih 25 pesakit kritikal akan dipantau di wad biasa dan Jabatan Kecemasan.

Beliau menambah terdapat lebih dari 20 rujukan ke ICU setiap hari dalam seminggu terakhir di Hospital Sungai Buloh.

“KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.

“Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui,” katanya.

Noor Hisham memberi amaran jika tren peningkatan kes Covid-19 berlanjutan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Sebanyak 2,881 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi sebanyak 759 kes.

Seramai 15 orang meninggal dunia akibat virus itu menjadikan angka kematian sebanyak 1,521.

Terdapat 337 pesakit ditempatkan di ICU, 176 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 2 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen