KERAJAAN Britain dijangka akan melakukan rombakan Kabinet esok, apabila Perdana Menteri Theresa May berusaha mengukuhkan kuasanya selepas pengunduran beberapa ahli Parlimen penting, kata ahli Parlimen.
Tempat bekas Timbalan Perdana Menteri Damian Green dijangka diisi selepas meletak jawatan bulan lepas susulan skandal pornografi, serta pengunduran beberapa menteri seperti Michael Fallon dan Priti Patel kerana skandal lain.
“Pengunduran Damian Green sebelum Krismas bermakna akan ada perubahan perlu dibuat, dan saya akan buat beberapa perubahan,” kata May pada Andrew Marr Show di BBC hari ini.
Seorang wakil rakyat Parti Buruh yang enggan dinamakan memberitahu AFP yang pengumuman rombakan itu akan dilakukan esok, setelah menerima pengesahan daripada rakan sejawat Parti Konservatif.
Tetapi, Pejabat Perdana Menteri di Downing Street mengatakan khabar angin mengatakan menteri kabinet lain akan mengetahui nasib mereka esok adalah tidak tepat.
Green meletak jawatan selepas skandal gangguan seks di Westminster yang turut menjadi punca perletakan jawatan Menteri Pertahanan Michael Fallon pada November.
Fallon diganti oleh Gavin Williamson.
Seminggu selepas Fallon meletak jawatan, Menteri Bantuan Luar Britain Priti Patel pula meletak jawatan selepas didedahkan mengadakan pertemuan di Israel tanpa kebenaran negara.
Bekas Menteri Pasukan Keselamatan Penny Mordaunt mengambil alih jawatan Patel pada 9 November.
Setiausaha Kesihatan Jeremy Hunt dipercayai akan mengambil alih jawatan Green tetapi krisis musim sejuk Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang menyebabkan masalah di hospital mungkin menjadi punca jawatan timbalan perdana menteri tidak diisi sehingga kini.
The Sunday Telegraph melaporkan yang Menteri Pendidikan Justine Greening dan Pengerusi Parti Patrick McLoughlin bakal dipecat.
Pemimpin lain seperti Menteri Luar Boris Johnson, Menteri Kewangan Philip Hammond dan Setiausaha Brexit David Davis dijangka kekal dalam Kabinet.
Dijangka lebih ramai pemimpin pelbagai kaum dan wanita akan dilantik memasuki Kabinet.
Menteri Kehakiman Dominic Raab, seorang penyokong tegar Brexit dilaporkan dalam senarai diberi jawatan lebih tinggi. – AFP, 7 Januari, 2018.
Komen