Wanita ditahan buang bayi di lapangan terbang Jakarta


POLIS Indonesia menahan seorang wanita, ibu kepada bayi baru lahir yang ditemui mati dalam tandas sebuah pesawat di lapangan terbang Jakarta.

Hani, 37, dari Cianjur, Jawa Barat ditahan tidak lama selepas tiba dari Bangkok di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta sekitar jam 1 pagi, kata Ketua Polis Lapangan Terbang Ahmad Yusef.

“Dia nampak tidak sihat dan tidak akan disoal siasat sehingga sihat. Wanita itu kini berada di pusat kesihatan lapangan terbang,” kata Yusef kepada AFP.

Polis mengesyaki Hani yang bekerja sebagai pembantu rumah di Abu Dhabi selama empat tahun melahirkan bayi itu secara rahsia dalam penerbangan Etihad ke Jakarta pada Sabtu.

Selepas empat jam perjalanan, dia mula mengalami pendarahan memaksa kapten pesawat berpatah balik ke Bangkok.

“Wanita itu berada di kelas ekonomi tetapi dibaringkan di kelas perniagaan dengan topeng oksigen. Kapten kemudian mengumumkan yang kami akan berpatah balik ke Bangkok,” kata salah seorang penumpang, Francesco Calore kepada AFP.

Pasukan perubatan menaiki pesawat untuk memindahkan Hani selepas pesawat Airbus A330 itu mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.

Penerbangan itu kemudian kembali berlepas sejam kemudian. Hani menaiki penerbangan lain ke Jakarta.

Kakitangan pencuci di Jakarta menemui mayat bayi cukup sifat dibungkus dengan beg plastik dalam toilet pesawat itu, kata Yused, menambah yang punca kematian masih disiasat.

Dianggarkan lima juta rakyat Indonesia bekerja di luar negara, lebih 70% wanita adalah pembantu rumah. – AFP, 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen