Campur tangan Indira Gandhi bantut rundingan bawa pulang anaknya, kata Hamid Bador


Noor Azam Shairi

Abdul Hamid sebelum ini berjanji akan menyatukan semula Indira dengan anak perempuannya yang berumur 11 bulan semasa dilarikan pada 2009. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 April, 2021.

TINDAKAN Indira Gandhi yang memberi tekanan kepada pihak polis telah menjejaskan usaha menjejak dan membawa pulang anak perempuannya Prasana Diksa yang dilarikan oleh bekas suaminya, kata Abdul Hamid Bador.

Ketua Polis Negara yang bakal bersara minggu depan berkata usaha itu “sepatutnya ada kemajuan besar” jika tidak kerana tekanan itu, yang kemudiannya dihangatkan lagi oleh pertubuhan masyarakat yang membela Indira.

“Saya sudah merayu kepada Puan Indira, saya merayu kepadanya melalui seorang pegawai kanan polis… tolong, beri saya sedikit masa. 

“Jangan campur tangan. Jangan keluar dan mula buat kenyataan itu dan ini. Beri kami sedikit masa. Tengok apa jadi?” katanya kepada wartawan di Bukit Aman, petang ini.

Abdul Hamid sebelum ini berjanji akan menyatukan semula Indira dengan anak perempuannya yang berumur 11 bulan semasa dilarikan pada 2009.

Menurut Abdul Hamid, usaha rundingan dengan bekas suami Indira terjejas apabila ada pertubuhan masyarakat yang kemudiannya tampil lantang bersuara mengkritik pihak polis semasa rundingan berjalan.

Jelasnya, tekanan Indira dan NGO semasa rundingan berjalan menyebabkan bekas suaminya takut dan pada satu ketika perhubungan pihaknya dengan beliau terputus.

Beliau tidak menamakan pertubuhan itu namun sebuah badan atas nama Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) menawarkan ganjaran RM50,000 untuk maklumat yang membawa kepada bekas suami Indira, yang sudah memeluk Islam dan memakai nama Muhammad Riduan Abdullah.

Indira kemudian memfailkan saman RM100 juta terhadap Abdul Hamid dan PDRM.

Menurut Abdul Hamid, usaha membawa pulang anak Indira harus dijalankan dengan teliti kerana bekas suaminya berada di luar negara dan ia melibatkan urusan diplomatik.

“Dia tidak ada di dalam negara. Dia di luar negara. Kita tidak boleh suka hati masuk negara orang dan culik, bawa balik ke negara kita. Tak boleh.

“Kita kena guna cara diplomatik,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau simpati dengan nasib Indira yang tidak dapat bersama anaknya sendiri.

“Saya harap usaha membawa anaknya pulang akan berjaya,” tambahnya.

Polis menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengesan Riduan dan Prasana pada April 2019.

Riduan melarikan Prasana selepas membawa tiga anaknya bersama Indira untuk masuk Islam pada 2009. 

Pada 2014, Riduan melanggar perintah mahkamah untuk mengembalikan anak tersebut kepada ibunya. Indira kemudian menang hak penjagaan anak pada 2018.
 
Walaupun mahkamah memberikan hak penjagaan tiga anaknya kepada si ibu selepas pemindahan agama yang tidak sah, Indira masih belum disatukan dengan anak bungsunya yang masih belum diketahui di mana berada. – 30 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen