Saintis Sarawak kesan varian baharu Covid-19


Desmond Davidson

Gambar menunukkan lukisan mural Covid-19 oleh seniman di India. Hari ini, di Sarawak saintis menemui varian baharu yang boleh mengatasi imun tubuh dan melawan vaksin, kata Prof David Perera. – Gambar EPA, 30 April, 2021.

VARIAN Covid-19 pertama kali dilaporkan di Filipina dan United Kingdom telah tiba di Sarawak, kata Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Varian tersebut, dinamakan keturunan B.1.1.28.3 atau varian P.3 oleh para penyelidik Unimas dikatakan mempunyai mutasi yang boleh mengelak imun (kemampuan virus untuk melawan tindak balas imun tubuh) dari vaksin dan perlindungan jangkitan semula jadi, kata Prof David Perera, pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) di universiti itu.

Setakat ini, lapan kes varian P3 telah dikesan - empat di Kuching dan empat di daerah Samarahan, kata Perera dalam satu kenyataan mengenai pengawasan genomik hari ini.

Katanya varian P.3 dicirikan oleh dua mutasi utama - mutasi E484K yang berkongsi dengan varian Afrika Selatan, dan mutasi N501Y berkongsi dengan varian UK.

Varian ini dikesan di Filipina pada Mac tahun ini dan di UK dalam kes import terbaharu.

“Penularan virus yang tidak terkawal akan menyebabkan muncul lebih banyak varian virus yang mungkin memberi kesan penting terhadap keberkesanan vaksin dan kemungkinan keparahan penyakit,” kata Perera, yang merupakan anggota kumpulan penasihat vaksin Sarawak Covid-19.

Beliau berkata, perubahan varian baharu yang berterusan menunjukkan keperluan tinggi bagi masyarakat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan, terutama memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga penjarakkan fizikal selain keperluan untuk mencapai imuniti kelompok melalui program vaksinasi.

Katanya usaha ini akan membantu memperlambatkan penularan virus dan mengurangkan kemungkinan varian baharu berkembang dalam masyarakat.

Penyelidik di IHCM yang melakukan pengawasan dan penjejakan genom varian SARS-COV-2 di Sarawak setakat ini telah menyelesaikan lebih dari 484 sampel turutan genomik, kata Perera.

Data turutan genomik juga telah dikongsi dalam pangkalan data urutan SARS-COV-2 global GISAID.

“Baru-baru ini kami melaporkan kajian pengawasan varian kami telah mengenal pasti garis keturunan B.1.470 dan B.1.524 sebagai varian beredar dalam gelombang ketiga (September - November, 2020) dan garis keturunan B.1.470, B.1.524 dan B.1.466.2 sebagai varian yang beredar pada gelombang keempat (Disember 2020 dan seterusnya) di Sarawak,” katanya.

Varian B.1.466.2, katanya, berkaitan dengan kluster ‘Pasai’ di pinggir bandar Sibu.

“Varian ini berkongsi mutasi P681R dengan varian UK B.1.1.7 yang dikaitkan dengan peningkatan kebolehjangkitan.” – 30 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen