Jawatankuasa bantah darurat bertemu pelbagai pihak sebelum mengadap Agong


Pengerusi jawatan kuasa bantah darutat, Khalid Samad berkata kesan buruk darurat mesti dijelaskan kepada orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2021.

JAWATANKUASA yang memohon penamatan darurat akan bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi menjelaskan bantahan terhadap perintah darurat sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi jawatankuasa Khalid Samad berkata selepas berbincang dengan wakil daripada parti pembangkang, mereka bersetuju kesan buruk darurat mesti terlebih dahulu dijelaskan kepada orang ramai dan mendapatkan pandangan mereka.

Selepas itu, jawatankuasa akan mengemukakan hujahnya untuk menamatkan darurat kepada Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Khalid berkata mereka akan bertemu seberapa banyak pihak berkepentingan seperti komuniti perniagaan, organisasi bukan kerajaan dan persatuan dalam masa terdekat.

“Jawatankuasa juga akan meminta pandangan daripada pakar kesihatan, ekonomi dan undang-undang untuk menjelaskan darurat yang menyebabkan pelbagai masalah tidak diingini kepada negara.

“Berdasarkan maklumat yang akan dikumpulkan, kami yakin semua orang akan bersetuju bahawa mengakhiri darurat adalah kaedah terbaik menyelamatkan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 22 April, Khalid berkata menerima surat dari Istana Negara yang memperkenankan jawatankuasa mengadap Agong, tetapi tiada tarikh ditetapkan.

“Walaupun tarikh mengadap belum ditetapkan, kami yakin tarikh akan segera ditentukan untuk kami bertemu dengan Agong dan menyerahkan petisyen bagi rayuan perintah darurat,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

Surat dari istana yang memperkenankan mengadap ditandatangani oleh setiausaha sulit kanan Agong, Nazim Mohd Alim.

Pada Mac, jawatankuasa melancarkan petisyennya untuk mengumpulkan sokongan orang ramai bagi meminta Agong menamatkan darurat sebelum tarikh 1 Ogos yang ditetapkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Ia mempunyai 23 anggota, termasuk Setiausaha Agung Pro Pejuang, Marzuki Yahya, Ahli Parlimen DAP untuk Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen PKR Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai).

Ahli profesional dalam jawatankuasa itu termasuk peguam Thanussha Francis Xavier, pengasas bersama parti politik Muda, dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali. – 30 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen