Kemurahan hati Amanah selesaikan rundingan kerusi Pakatan, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Radzi Razak

Pakatan hari ini mengumumkan pembahagian kerusi antara empat partinya selain menamakan Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon PM dan TPMnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

SIKAP Amanah yang bermurah hati akhirnya membolehkan Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan pembahagian kerusi mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14), kata Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun ada pihak tidak berpuas hati, tetapi itulah yang menjadi petanda kejayaan rundingan itu, kata pengerusi Bersatu itu lagi.

“Akhirnya yang menjayakan agihan kerusi dikalangan empat parti ini ialah Amanah. Sesuatu yang jarang dicapai mana-mana parti,” katanya ketika berucap di Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.

Pembahagian kerusi antara parti-parti dalam PH menjadi rumit dengan penyertaan dua parti baru, Bersatu dan Amanah, yang merupakan serpihan Umno dan PAS, menjadikan gabungan itu disertai oleh empat buah parti berbanding tiga parti semasa Pakatan Rakyat.

Adanya dua parti Melayu tersebut, mewujudkan pertindihan di kerusi-kerusi yang dahulunya ditandingi PAS, yang kini kebanyakannya diminta oleh Amanah. Pertindihan juga berlaku pada kerusi-kerusi yang dipohon oleh Bersatu yang berselisih dengan PKR.

Calon perdana menteri PH itu juga mengatakan, beliau sendiri tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi antara empat parti gabungan PH tersebut.

“Dahulu semasa zaman purba semasa saya perdana menteri dulu saya sentiasa berkata kepada mereka yang adakan rundingan, hasil yang terbaik adalah apabila semua pihak tidak puas hati. 

“Kalau ada satu pihak puas hati ini bermakna kita tak adil. Nak bagi semua puas hati tak mungkin. Kita nak bagi semua pihak tak puas hati.

“Sudah tentu saya tak puas hati. Kita berharap dapat banyaklah, tapi tak dapat. Kita kurang lagi, kurang lagi akhirnya dapatlah sikit. Jadilah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, rundingan agihan kerusi antara parti komponen dalam PH juga bukan tugas mudah.

Amanah, parti serpihan PAS, kini diterajui Mohammad Sabu menerima 27 kerusi, paling rendah berbanding tiga parti lain sehingga mencetuskan boikot perwakilan Amanah Johor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

“Itu bukan dicapai dengan mudah. Siang dan malam macam-macam peringkat. Diusahakan cari satu formula yang memuaskan semua pihak.

“Banyak tuntutan dibuat PKR kerana dalam PH, PKR adalah yang tertua tapi mereka tak dapat semua, begitu juga dalam DAP. Tidak banyak soal banyak horey. Dia nak pergi kawasan yang dia boleh menang. Kita beri kawasan kepada DAP walaupun saya yakin kalau boleh dapat lebih banyak DAP lebih seronok.

“Amanah ini, baru pun tak, lama pun tak. Dulu dia menjelma dalam PRU13 nama lain. Sekarang nama lain. Tapi dia tuntut tempat, nama lama, tempat lama payah kita nak bagi. Tetapi mereka bermurah hati,” katanya.

Dalam konvensyen itu, melalui dokumen Muafakat PH, Setiausahanya Saifuddin Abdullah mengumumkan pembahagian 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia yang dipersetujui bersama oleh empat parti dalam PH.

Muafakat PH itu memutuskan Bersatu akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia diikuti PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27 kerusi.

Amanah Johor bagaimanapun dilaporkan tidak berpuas hati dengan agihan kerusi di negeri itu dan mengambil keputusan memboikot konvensyen hari ini.

Parti itu dilaporkan hanya diberi dua kerusi Parlimen iaitu di Pulai dan Parit Sulong berbanding lima kerusi yang diminta.

Sudah tentu pembahagian kerusi tak dapat puaskan hati semua orang, tetapi itulah persetujuan terbaik yang dapat dicapai, kata Dr Mahathir lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Januari, 2018.

Dr Mahathir percaya hasil rundingan pembahagian 165 kerusi antara empat parti itu adalah kejayaan terbesar PH.

“Ini memberi masa kepada kita untuk meredakan perasaan dikalangan penyokong kita yang tidak ambil bahagian dalam rundingan kerusi antara wakil parti.

“Sukar untuk capai persetujuan. Saya anggap persetujuan antara agihan kerusi ini adalah kejayaan terbesar dalam PH,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya dalam Pakatan Rakyat dahulu agihan kerusi juga menjadi antara isu besar.

“Saya percaya dalam PKR dulu pun tak mudah untuk agihan kerusi. Apabila dipersetujui pun ada yang tak pegang kepada keputusan yang dibuat. 

“Tetapi saya yakin kali ini kita buat keputusan awal dan jual keputusan ini kepada penyokong kita supaya mereka bersatu padu menjayakan perjuangan kita,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Mahathir pada sidang media selepas itu mengatakan PH boleh, kalau mahu, mengalahkan BN pada PRU14 nanti dengan kerusi-kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia saja.

Ini kerana berdasarkan matematik, hanya 112 kerusi diperlukan untuk mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat, katanya.

“Kita mempunyai 165 kerusi. Ia boleh membuatkan kita menang pilihan raya di Semenanjung tanpa perlu bersandar kepada Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun kita lebih suka bekerjasama dengan mereka,” kata Dr Mahathir merujuk kepada parti-parti pembangkang tempatan di Sabah dan Sarawak.

PH kini dalam perbincangan dengan Parti Warisan Sabah pimpinan bekas Naib Presiden Umno Shafie Apdal mengenai pembahagian kerusi di Sabah walaupun masih tiada perkembangan terkini mengenainya. – 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen