SEBUAH bot yang hanyut di Kepulauan Canary di Sepanyol bersama 24 mayat migran ditemukan pada Rabu, kata pihak berkuasa.
Kapal penyelamat maritim Sepanyol menunda bot kayu berkenaan ke pelabuhan di Los Cristianos di pulau Tenerife.
“Anggota bomba mengeluarkan mayat daripada bot berkenaan dan ia akan dibawa ke rumah pengebumian,” kata Domingo Martin dari Palang Merah Sepanyol kepada pemberita.
Sebelum ini pasukan penyelamat maritim Sepanyol berkata 17 mayat berada dalam bot berkenaan.
Namun selepas ia dibawa ke pelabuhan, pihak berkuasa menemui 24 lagi mayat termasuk dua bawah umur.
Pesawat tentera udara Sepanyol yang menjalankan rondaan rutin di perairan negara itu menemukan bot berkenaan pada pagi Isnin kira-kira 500 kilometer dari tenggara pulau El Hierro.
Helikopter tentera Sepanyol kemudian mengeluarkan tiga orang yang ditemui masih hidup dalam bot berkenaan iaitu dua lelaki dan seorang wanita dan dibawa ke hospital di pulau Tenerife.
Menurut pasukan penyelamat salah seorang lelaki terbabit berada dalam keadaan serius dan mengalami dehidrasi yang teruk.
“Mereka sangat lemah hingga saya perlukan bantuan rakan sekerja untuk bantu mereka berdiri,” kata juruterbang helikopter tentera udara yang menyelamatkan migran terbabit. – AFP, 29 April, 2021.
Komen