Zeti akan lepas jawatan pengerusi PNB


Ragananthini Vethasalam

Penggal perkhidmatan Pengerusi PNB Zeti Akhtar Aziz tamat 30 April ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2021.

ZETI Akhtar Aziz akan melepaskan jawatan pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) selepas penggal perkhidmatannya tamat 30 April ini.

Bekas gabenor Bank Negara Malaysia itu dalam nota kepada kakitangan berkata beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk tidak memperbaharui kontrak tiga tahunnya.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk memaklumkan bahawa saya akan menamatkan penggal tiga tahun sebagai pengerusi Permodalan Nasional Bhd pada mesyuarat agung tahunan akan datang pada 30 April.

“Saya telah menulis kepada perdana menteri dan pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera awal tahun ini, memaklumkan hasrat untuk tidak memperbaharui kontrak selepas tamat pada 30 April,” katanya.

Zeti berkata beliau berbesar hati diberi tanggungjawab selama tiga tahun menerajui kumpulan PNB.

Beliau turut mengambil kesempatan memuji kakitangan PNB yang membuat “pembaharuan besar” dalam pelaburan, memantapkan pengurusan risiko kecairan dan memulakan transformasi organisasi utama dengan aspirasi untuk mengubah PNB menjadi institusi pelaburan bertaraf dunia.

Zeti dilantik sebagai pengerusi PNB pada 1 Julai 2018 menggantikan Abdul Wahid Omar, selepas bersara dari Bank Negara.

Beliau juga akan melepaskan jawatan sebagai pengerusi Sime Darby Property Berhad dalam mesyuarat agung tahunan ke-48 syarikat itu bulan depan.

Suaminya Tawfiq Ayman dan anak mereka baru-baru ini dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung siasatan penerimaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Zeti dilapor menafikan dakwaan bahawa keluarganya terbabit dalam skandal 1MDB. – 28 April, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen