Mahkamah lanjut bicara rayuan Najib sehari lagi


Hailey Chung Wee Kye

Najib Razak tiba di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini bagi perbicaraan rayuan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 April, 2021.

PERBICARAAN kes rayuan melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dilanjutkan bagi kali kedua yang pada asalnya dijadualkan selama 12 hari. 

Justeru dengan lanjutan terbaharu ini, kes berkenaan sudah memasuki hari ke-15.

“Perkara yang paling penting adalah anda menjadikannya spesifik dan membuatkan kami jelas. Jika tidak, anda mengelirukan kami,” kata Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memberi amaran sebelum memberikan lanjutan itu.

Karim memberikan amarannya itu kepada peguam bela Harvinderjit Singh selepas peguam itu tidak menunjukkan tanda menyudahkan hujah penutupnya pada akhir perbicaraan hari ini.

Najib merayu terhadap sabitan dan hukumannya selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan dana SRC International bernilai RM42 juta.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Harvinderjit sedang membacakan hujah setebal 94 halaman, yang menyatakan pihak pendakwaan perlu membuktikan dokumen yang dipertikaikan itu adalah sahih.

Karim mencelah peguam dan menggesanya agar lebih “substantif” dan memulakan daripada fakta paling sukar terlebih dahulu.

“Nota ucapan anda agak tebal. Semua dokumen ini, apa yang anda ingin tunjukkan atau timbulkan keraguan? Beritahu kami terus, rujuk kepada kesalahan dan pertuduhan yang mana,”kata hakim.

Ini bukan kali pertama Karim menegur pasukan pertahanan kerana bersikap meleret.

Karim mengetuai panel tiga hakim, bersama Hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera. – 28 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen