VAKSIN AstraZeneca tidak akan diguna pakai dalam program arus perdana imunisasi Covid-19 kebangsaan, sebaliknya hanya akan diberi kepada individu mahu mengambil secara sukarela, kata Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata keputusan itu dibuat atas dasar kebimbangan orang ramai tentang keberkesanan vaksin tersebut.
“Kami telah setuju langkah proaktif yang pertamanya dapat terus kita gunakan vaksin AstraZeneca tetapi pada masa yang sama kita dapat menangani ketakutan dan kerisauan rakyat terhadap vaksin ini.
“Kita akan buka kepada orang ramai yang secara sukarela setelah melihat segala fakta berkenaan dengan vaksin AstraZeneca,” kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu pada sidang media hari ini.
Khairy berkata Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas akan dibuka kepada orang ramai yang mendaftar.
“Satu sistem akan dibuka untuk orang ramai membuat tempahan janji temu dan ia akan berdasarkan kaedah first come first serve kepada semua. “
“Kita tidak hadkan kepada golongan dalam Fasa 2. Kita akan buat penilaian pre-vaccination screening di PPV tersebut, dan setelah kita dapati bahawa mereka itu layak maka mereka akan diberi vaksin AstraZeneca,” katanya.
Tambah beliau, 268,600 dos pertama vaksin itu akan diberi di PPV khas yang akan dibuka Selangor dan Kuala Lumpur.
Malaysia menerima 268,600 dos pertama vaksin AstraZeneca melalui fasiliti Covax pada Sabtu lalu.
Vaksin AstraZeneca mencetus kontroversi selepas banyak negara melaporkan kes darah beku yang jarang berlaku dalam kalangan penerima. – 28 April, 2021.
Komen