Pakatan sahkan Dr Mahathir calon PM sebelum Anwar diampun


Mohd Farhan Darwis Radzi Razak

Dr Mahathir Mohamad diumumkan sebagai calon perdana menteri ke-7 oleh Pakatan Harapan hari ini. Selepas itu, pengampunan diraja akan didapatkan untuk membebaskan Anwar Ibrahim dan melantiknya sebagai perdana menteri ke-8. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) hari ini secara sah menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menterinya sebelum mengangkat Anwar Ibrahim, yang kini sedang dipenjara, sebagai perdana menteri ke-8, selepas Ketua Umum PKR itu mendapat pengampunan diraja.

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail pula akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri apabila gabungan pembangkang itu dapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Keputusan PH itu dibacakan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah pada konvensyen gabungan pembangkang itu di Shah Alam, petang ini.

“Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan PH dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi membebaskan Anwar akan dimulakan segera.

“Selepas PH mengambil alih pentadbiran negara agar Anwar segera berperanan dalam kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat  sebagai calon perdana menteri ke-8,” kata Saifuddin, membacakan dokumen yang diberi nama “Muafakat Pakatan Harapan”.

Pengumuman itu disahut hadirin di Pusat Konvensyen Ideal dengan laungan “Reformasi”, yang menjadi slogan perjuangan ke arah perubahan sejak dua dekad lalu.

Mereka sebelum itu berdiri dan melaungkan kata-kata “Hidup Tun” selepas Saifuddin mengumumkan nama Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.

Sebelum pengumuman itu, Anwar, dalam ucapan yang dibacakan oleh anak perempuannya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, berkata beliau menerima keputusan pimpinan tertinggi PH.

Saifuddin turut mengumumkan pembahagian 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia yang dipersetujui bersama oleh empat parti dalam PH.

Muafakat PH itu memutuskan Bersatu akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia diikuti PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27, sama seperti yang dilaporkan The Malaysian Insight awal hari ini.

Saifuddin Abdullah mengumumkan Muafakat Pakatan Harapan yang antara lainnya menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, Dr Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri dan pembahagian kerusi untuk empat parti dalam gabungan pembangkang itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

Muafakat itu adalah satu perjanjian yang mengikat empat parti yang bergabung di bawah PH menuju PRU14, yang perlu diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Ia ditandatangani oleh Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah serta Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Dalam muafakat itu, PH juga mengumumkan 13 janji perubahan untuk Malaysia yang lebih sejahtera dan adil, yang akan terkandung dalam manifestonya untuk PRU14.

Cadangan menamakan gandingan dua doktor perubatan untuk mengubati Malaysia, seperti kata penganalisis, sebelum ini tertangguh kerana tidak mendapat persetujuan muktamad PKR.

Dr Mahathir dan pentadbirannya adalah lawan utama PKR yang ditubuhkan selepas Anwar dipecat oleh bekas perdana menteri 22 tahun itu daripada kerajaan dan Umno pada September 1998.

Tiga parti lain dalam PH – Bersatu, DAP dan Amanah – sebelum ini sudah menyetujui cadangan tersebut.

Sekumpulan penyokong Anwar mengadakan protes di luar dewan tempat berlangsungnya konvensyen ini pagi tadi. 

Nurul Izzah Anwar hari ini juga membacakan ucapan Anwar Ibrahim yang mengatakan PKR bersedia untuk terima keputusan diambil kepimpinan Pakatan Harapan, seterusnya menghapuskan persoalan tentang calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri PH jika menang PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

Sebelum pengumuman itu juga, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyeru gabungan pembangkang itu agar meningkatkan kesatuan untuk menumbangkan BN pada PRU14.

“DAP akan sentiasa bersama saudara Anwar Ibrahim. Kita tidak lupa Anwar Ibrahim. Tetapi kalau kita mahu jatuhkan BN, yang sekarang ada kawan baru dengan PAS, kita perlu sama-sama ganding kekuatan, baru ada peluang,” kata Lim.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dalam PH yang sedia mengetepikan perasaan peribadi dari masa lalu untuk sama-sama berjuang “dengan hati terbuka” melawan BN.

Saifuddin dalam satu kenyataan sebelum ini pernah berkata calon terbaik PH untuk jawatan perdana menteri adalah Anwar tetapi oleh kerana beliau kini dalam penjara, gabungan pembangkang itu perlu menamakan calon perdana menteri sementara.

Katanya, gabungan itu sudah belajar daripada sejarah dan kerana itulah ia mahu menamakan calon perdana menterinya kali ini sebelum pilihan raya umum. – 7 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen