Pemimpin parti, penganalisis percaya Zahid masih kuasai Umno


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin Umno faham tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sememangnya dibuat untuk rakyat dan bukan atas kepentingan individu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2021.

WALAU berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah dan juga tentangan dari dalam parti, Ahmad Zahid Hamidi masih menguasai Umno, kata penganalisis dan pemimpin parti Melayu itu.

Mereka menjawab tekanan dalam Umno agar Zahid meletak jawatan presiden parti selepas timbul dakwaan beliau menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan.

Kumpulan yang menentang Zahid ini menimbulkan isu rakaman didakwa perbualan dengan Anwar dan juga surat didakwa menyokong presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

Presiden Umno itu menafikan dakwaan berkenaan namun tuduhan berkenaan tetap meninggalkan bekas, terutama selepas ketetapan dibuat Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Perhimpunan pada bulan lalu itu memutuskan menolak kerjasama dengan Anwar, DAP dan juga dengan Bersatu, selain menarik sokongan ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Zahid juga berdepan 47 tuduhan di mahkamah – 12 tuduhan pecah amanah jenayah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan mengubah wang haram puluhan juga milik Yayasan Akalbudi.

Mengulas isu melingkari Zahid, seorang anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata ura-ura kerjasama dengan Anwar dan PKR tidak menjadi tekanan kepada presidennya itu.

Ahmad Shabery Cheek memberitahu The Malaysian Insight, beliau melihat Zahid tidak menerima sebarang tekanan daripada anggota MKT selepas dakwaan tersebut timbul.

“Hanya orang di luar lihat ada perbezaan bagi kami kalau ada masalah boleh diselesaikan macam adik-beradik.

“Sempena semangat Ramadan ini kami mencari titik persamaan, dalam MKT tidak ada soal tekanan (kepada Zahid),” kata Shabery ketika ditemui.

Tambahnya walau berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan, Umno tetap kuat berbanding pembangkang seperti PAS, DAP, PKR yang terus mengekalkan pemimpin sama.

“Ini tak bermakna Umno lemah, Umno ada dinamiknya sendiri. Umno besar, ada sejarah, sistem semak imbang dan kita tak berhadapan sampai ada masalah kita gantung Parlimen.

“Itu tak jadikan mereka lebih baik daripada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Shabery berkata demikian dengan merujuk surat ditandatangani Zahid dan bekas presiden Umno Najib Razak untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

Surat yang dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong itu dikaitkan kepada pengumuman Anwar pada Oktober lalu bahawa presiden PKR tersebut mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Selain itu, Zahid juga berdepan isu mengenai rakaman suara yang didakwa menunjukkan perbualannya dengan Anwar yang tular pada bulan lalu.

Rakaman itu memperlihatkan seolah-olah keputusan PAU pada waktu itu – untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu – sudah dirancang sejak awal.

Mengulas lanjut, Shabery berkata kalangan pemimpin Umno faham bahawa tindakan Zahid sememangnya dibuat untuk rakyat dan bukan atas kepentingan individu.

“Bukan soal Zahid, soalnya rakyat hendak tukar kerajaan mesti mereka hendak kerajaan baharu lebih baik banding PN.

“Ini soal menang kalah BN bukan personaliti, perbandingan kerajaan baru dengan sebelumnya. Itu sahaja,” kata Shabery

Tambahnya, rakyat perlu melihat kelemahan pentadbiran PN pada waktu ini yang mengumumkan akan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Nasional (KWAN) untuk menangani Covid-19.

“Dana terkumpul KWAN yang dikumpul sebegitu banyak bawah BN, kalau kerajaan rasa dia nak dia patut tambah dana tersebut tapi diambilnya sedangkan itu tabung terakhir kita,” katanya.

Kalangan pemimpin Umno negeri seperti Md Alwi Che Ahmad pula berkata Zahid bertanggungjawab dengan tindakan tersebut sekiranya segala rancangan itu benar-benar berlaku.

Beliau berkata demikian dengan mengaitkan pendirian berbeza mengenai dakwaan tersebut di kalangan pemimpin utama parti dan pemimpin Umno yang kini diberi jawatan dalam Kabinet.

Penganalisis berpendapat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi masih mampu menguasai parti walaupun berlaku sedikit kocakan dalam kepemimpinan parti Melayu itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2021.

Ini memandangkan, isu mengenai dakwaan surat menyatakan sokongan Zahid dan Najib untuk Anwar menjadi perdana menteri dibangkitkan kalangan menteri seperti Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Adun Kok Lanas itu berkata, beliau melihat masalah yang timbul dalam Umno hari ini disebabkan kurang penjelasan di kalangan pemimpin dan anggota Kabinet Umno.

“Berdamailah dengan takdir. Senang, aman. Itulah pemimpin sebenar. Tanya diri kita kenapa jadi macam itu (pergeseran dalam Umno).

“Pemimpin ini mesti berjiwa besar. Ada masa kita memberi, ada masa diberi. Pemimpin banyak dah silih berganti di Malaysia ini,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa pemimpin kanan dan anggota Kabinet Umno untuk sering bertemu dan mengadakan perbincangan untuk mengelak masalah berlarutan.

“Kalau ada masalah mesyuarat, jumpa. Kita bukan orang lain pun, semua ini kita kawan-kawan.

“Masalah parti biar setiausaha agung sahaja cakap, kurangkan bercakap. Banyakkan buat kerja sahaja. Umno bila bercakap rakyat dengar rakyat gembira,” katanya.

Tambahnya, rakyat dan penyokong akan keliru apabila timbul makluman berbeza dari kalangan anggota Kabinet dan pemimpin parti.

“Nak jadi pemimpin jangan bila kita cakap rakyat jadi serabut. Kita pemimpin sebagai penyelesai masalah, bila kita cakap rakyat gembira, itu baru pemimpin.

“Bila bercakap sepatutnya selesai masalah, ini tidak bila bercakap bergaduh, makin tambah masalah,” tambahnya.

Penganalisis pula berpendapat, Zahid masih mampu menguasai Umno walaupun berlaku sedikit kocakan dalam kepemimpinan parti Melayu itu

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya melihat, ketokohan ahli Parlimen Bagan Datuk itu hanya sedikit tempang tanpa jawatan perdana menteri.

“Walaupun tak pegang jawatan timbalan perdana menteri, dia pegang jawatan presiden yang kuasai struktur jentera dalaman parti.

“Dia dalam kedudukan yang munasabah sebagai presiden yang boleh mengawal parti,” katanya.

Tugas itu sudah amat mencabar katanya kerana Umno adalah parti terbesar dengan 3 juta keahlian di 191 bahagian.

“Umno parti besar bukan parti nyamuk,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya lagi, Zahid perlu mencari strategi ampuh untuk membolehkan kekurangan tidak mempunyai jawatan perdana menteri sebagai halangan.

“Kekurangan Zahid adalah dia tak pegang jawatan perdana menteri. Dia pegang parti terbesar tapi buat pertama kali dalam sejarah Umno bukan perdana menteri.

“Itu menjadi hambatan kepada dia. Zahid perlu cari strategi pastikan perkara itu tak hakis kedudukan beliau sebagai presiden,” kata Awang Azman.

Zahid mula mengemudi Umno dalam keadaan parti itu tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadikan beliau presiden Umno pertama tidak menjadi perdana menteri.

Pada masa sama, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Zahid juga berhadapan dengan lebih 80 pertuduhan kes di mahkamah.

Bagaimanapun Awang Azman melihat kedudukan Zahid sukar digoyah kerana beliau mempunyai sokongan sendiri dalam Umno.

“Selagi pemilihan tak diadakan selagi itu Zahid memegang kuasa. Bila pemilihan pula belum tentu Zahid tewas kepada pesaing atau musuh politiknya.

“Zahid ada sekutu dalam kepimpinan Umno. Dia presiden dan dia ada mekanisme kuasa dan jentera untuk kuasai struktur parti.

“Dia boleh bertahan selagi pemilihan belum diadakan. Walaupun peluang menang dikatakan 50-50, peluang Zahid untuk menang tetap ada,” kata Awang Azman lagi. – 28 April, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen