Ulama Arab Saudi ditahan tanpa bicara 4 bulan


Salman al-Awda adalah salah seorang daripada lebih 20 yang ditahan pada September lalu dalam operasi yang disifatkan kerajaan Arab Saudi pembanterasan aktivi perisikan. – Gambar AFP, 7 Januari, 2018.

SEORANG ulama terkenal di Arab Saudi yang ditahan pada operasi menghapuskan penentangan telah ditahan empat bulan tanpa bicara atau berhubung dengan dunia luar, kata Human Rights Watch (HRW) hari ini.

Salman al-Awda adalah salah seorang daripada lebih 20 yang ditahan pada September lalu dalam operasi yang disifatkan kerajaan Arab Saudi pembanterasan “aktiviti perisikan…untuk manfaat pihak asing bertentangan dengan keselamatan dan kepentingan negara”.

Keluarga Awda, bagaimanapun percaya dia ditahan kerana satu tweetnya berkaitan Qatar. Arab Saudi memutuskan semua ikatan dengan Qatar atas dakwaan negara itu mempunyai hubungan rapat dengan Iran dan pelampau Islam, menurut HRW.

Sejak itu, Awda ditahan dalam bilik penjara berseorangan dan masih tidak didakwa ataupun disoal siasat, kata badan pemantau hak asasi di New York itu.

Ulama itu dilaporkan dibenarkan membuat satu panggilan telefon pada Oktober.

Aktivis di Arab Saudi juga mengatakan adik Salman, Khaled al-Awda telah ditahan kerana mendedahkan penahanan abangnya itu.

Puluhan rakyat Arab Saudi didakwa atas dakwaan berkaitan bantahan di bawah undang-undang jenayah siber negara itu terutamanya berkaitan dengan tulisan mereka di Twitter. – AFP, 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen