Najib larang persoal dana SRC di Switzerland kerana 'sensitiviti diplomatik', kata peguam


Hailey Chung Wee Kye

Najib Razak di Mahkamah Putrajaya bagi kes rayuan SRC International, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 April, 2021.

TINDAKAN Najib Razak menghentikan bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah daripada bertanya mengenai dana SRC International di Switzerland bagi mengelak “sensitiviti diplomatik”, kata peguam hari ini.

Peguam bela Farhan Read berkata ia adalah satu-satunya alasan dan bukan kerana kepentingan peribadi.

Hakim perbicaraan mendapati tindakan Najib bukan kerana kepentingan atau demi keuntungan kerajaan kerana beliau menolak cubaan Husni untuk mengesahkan status dana SRC di Bank BSI Switzerland yang didakwa dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland, kata Farhan.

Beliau berkata tidak tepat bagi pihak pendakwaan berhujah yang kegagalan Najib menunjukkan perancangan sewajarnya untuk mendapatkan semula dana, menunjukkan beliau tidak berhasrat melakukannya.

“Najib sudah memberi keterangan yang isu menghantar delegasi ke Switzerland tidak semudah disarankan oleh Husni.

“Beliau menjelaskan ada pertimbangan lain dalam komunikasi antara kerajaan (G2G).

“Dan setahunya, perkara ini diuruskan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.”

Peguam itu menambah Husni mengakui semasa perbicaraan SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa terdapat rancangan selari yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan untuk mendapatkan balik dana tersebut.

Farhan berkata pada 2017, memo dikeluarkan oleh Dr Mohd Isa Hussain daripada Kementerian Kewangan, yang meminta persetujuan agar pinjaman selanjutnya diberikan kepada SRC International.

Farhan berkata memo diluluskan oleh Najib menggariskan bahawa SRC akan diberi peluang terakhir membawa pulang dana dari Switzerland atau daripada pelaburan lain.

Peguam menyimpulkan bahawa tidak tepat mengatakan bahawa tiada apa dilakukan oleh Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan Diperbadankan kerana rancangan sudah dibuat.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa pada Julai tahun lalu.

Najib ketika ini dibebaskan dengan jaminan RM2 juta.

Pasukan pembelaan meneruskan hujahan mereka esok di depan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Abdul Karim Abdul Jalil. Dua hakim lain adalah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat. – 27 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen