Pejuang mahu Hamid kekal sebagai KPN


Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador akan bersara pada 3 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2021.

PEJUANG menggesa Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador dikekalkan jawatannya ketika terdapatnya dakwaan kerajaan cuba meletakkan calonnya bagi memegang jawatan tertinggi dalam pasukan polis.

Menurut kenyataan biro perundangan parti itu, Peguam Pejuang berkata dalam video yang tular di WhatsApp, seorang menteri didengar cuba mengatur calon untuk jawatan tertinggi dalam pasukan polis.

“Satu video tular di WhatsApp dan suara individu di dalamnya terdengar seperti menteri dalam negeri.

“Keaslian video belum dapat disahkan, tetapi dengan mengambil kira aduan oleh pegawai kanan polis, ia membimbangkan yang isu ini belum dapat diselesaikan,” katanya.

Hamid sebelum ini mendedahkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin campur tangan dalam pertukaran pegawai polis yang berada di bawah bidang kuasa KPN.

Hamzah menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan semua pemindahan akan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Polis dan juga akan diputuskan oleh suruhanjaya tersebut.

Peguam Pejuang menambah yang Seksyen 15, Akta Polis 1967 (Akta 344) membolehkan Hamid terus kekal sebagai KPN sepanjang tempoh darurat.

“Tempoh berkhidmat KPN perlu dilindungi, terutama ia adalah pilihan kerajaan sendiri untuk mengisytiharkan darurat.”

Hamid, 63, akan bersara pada 3 Mei. Minggu lalu beliau memberitahu Harian Metro yang usahanya untuk memastikan kontraknya dilanjutkan tidak berjaya.

Beliau dilantik sebagai KPN oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan berkuasa pada Mei 2018.

Peguam Pejuang juga menekankan campur tangan politik tidak sepatutnya berlaku dalam pasukan polis, dan peranan serta tugas KPN sebagai pegawai tidak boleh dihalang oleh mana-mana individu atau ahli politik.

Dengan isu “kartel” dalam pasukan polis, Peguam Pejuang menekankan perkhidmatan KPN diperlukan.

Hamid sebelum ini berkata ada “kartel” dalam pasukan polis yang merancang mendapatkan lebih banyak kawalan dan kuasa, serta usaha untuk menjatuhkannya.

Hamid bercakap mengenai kumpulan itu selepas beliau ditanya mengenai kewujudan polis yang korup.

Bulan lalu KPN juga mendedahkan terdapat kebocoran maklumat dalam pasukanberkaitan pemburuan Nicky Liow yang menyebabkannya berjaya melarikan diri. – 27 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen