Anwar disiasat kes rakaman didakwa perbualan dengan Zahid


Presiden PKR Anwar Ibrahim (tengah) ditemani peguamnya Ramkarpal Singh (kiri) meninggalkan ibu pejabat polis Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 April, 2021.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim tampil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung rakaman didakwa mengandungi perbualannya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar memberitahu wartawan, beliau tampil sebagai saksi dalam siasatan berkenaan kenyataan yang mungkin mendatangkan kegusaran awam.

“Dalam kes audio, yang didakwa percakapan antara saya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Jadi saya beri kerjasama kepada pihak polis.

“Keterangan saya sebagai saksi diambil mengikut peruntukan Seksyen 505b Kanun Keseksaan.

“Saya bagi tahu kalau ada pendakwaan saya akan beri keterangan lengkap,” katanya ketika ditemui di luar Bukit Aman, hari ini selepas siasatan hampir satu setengah jam.

Anwar yang ditemani peguam Sankara Nair dan Ramkarpal Singh berkata semasa siasatan juga mempersoalkan bahawa siasatan tersebut bersifat politik.

“Kerajaan nampak sangat terdesak sekarang. Apa kaitan audio ini dengan kemelesetan ekonomi, kegawatan politik dan penyalahgunaan kuasa yang ada sekarang.

“Saya sebut jugak ada penyebaran meluas dalam media sosial mengenai audio rakaman yang didakwa (melibatkan) Tan Sri Muhyiddin, mengenai ‘scheme of things’.

“Itu saya percaya sebahagian besar saudara dengar, melibatkan ugutan, rasuah, lantikan GLC dan sebagainya,” katanya.

Beliau merujuk rakaman tular didakwa mengandungi perbualan Muhyiddin dan tawaran tersebut, yang dikaitkan dengan Langkah Sheraton untuk mengambil alih kerajaan tahun lalu.

Tambahnya, polis juga sepatutnya bertindak ke atas individu yang didakwa menyebarkan rakaman melibatkan pemimpin negara seperti itu.

Beliau turut mempersoalkan berhubung tiada tindakan diamb polis ke atas individu yang menyebarkan rakaman-rakaman audio pemimpin negara.

“Polis patut siasat siapa sebenarnya yang menyebarkan audio seperti ini,” katanya.

Rakaman berkaitan siasatan ke atas Anwar pula merujuk perbualan yang tersebar sejurus sebelum perhimpunan agung Umno pada 28 Mac lalu.

Rakaman kira-kira 4 minit itu didakwa menunjukkan Anwar berbincang dengan Zahid mengenai resolusi yang akan diputuskan dalam perhimpunan berkenaan.

Perhimpunan Agung Umno seterusnya memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional, dan pada masa sama tidak akan bekerjsama dengan DAP dan Anwar.

Zahid menafikan beliau individu dalam rakaman itu dan menganggapnya sebagai helah politik oleh individu yang mahu memusnahkan Umno.

Anwar juga pada masa itu menafikan beliau individu dalam rakaman itu tetapi mempersoalkan sekiranya wujud sebarang pelakuan jenayah sekiranya ia benar-benar mengandundi suaranya.

“Apa salahnya dengan perbualan itu, jika ia benar? Adakah wujud sebarang elemen jenayah atau adakah ia salah?” soalnya dalam satu forum anjuran Majlis Profesor Negara pada awal April. – 27 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen