SATU kumpulan penduduk yang membantah lanjutan kawalan pergerakan menjelaskan mereka bertindak demikian kerana kecewa kesukaran hidup mereka diabaikan pihak berkuasa.
Penduduk Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan tidak mengambil kira situasi dan kepayahan penduduk selama ini.
Mereka menjelaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu amat membebankan penduduk yang sudahpun sukar meraih pendapatan.
Salah seorang penduduk, Muhamad Asyraf Yusof berkata mereka kehilangan punca pendapatan sejak PKPD dilaksana buat kali pertama di kawasan tersebut pada 10 April.
“Kebanyakan penduduk kampung Muhibbah Raya termasuk saya bekerja sendiri yang mengharapkan gaji harian.
“Apabila PKPD di laksanakan untuk dua minggu kami masih boleh bertahan tapi bila di sambung sebulan PKPD kami tidak dapat bekerja, tidak ada pendapatan.
“Jadi apa yang kami boleh buat,” kata pekebun berusia 29 tahun itu yang menambah, mereka hanya diberikan bantuan makanan hanya sekali sahaja pada minggu pertama PKPD dilaksanakan.
Katanya lagi, penduduk juga sukar mendapatkan bekalan makanan kerana hanya satu kedai runcit yang dibenarkan beroperasi di kawasan itu.
“Bantuan makanan sekali sahaja di minggu prtama PKPD dilaksanakan. Minggu kedua tidak ada. Dalam kawasan PKPD hanya satu kedai runcit beroperasi.
“Tapi kami penduduk tak dapat bertahan tanpa bekerja terutama bagi yang gaji harian.
“Pendapatan kami terjejas mungkin tiada masalah bagi golongan yang mendapat gaji bulanan tapi bagi yang bergaji hari macam mana pula,” katanya.
Luahnya lagi, pihak berkuasa juga sepatutnya melantik jawatankuasa khas di kampung itu bagi memberi maklumat dan penerangan kepada penduduk.
Beliau berkata ini kerana penduduk tidak jelas dengan peraturan dan maklumat juga tidak selari dengan apa yang diterima penduduk.
“Contoh hari ini ini ada empat orang penduduk dijangkiti tapi info dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) umum kata ada lapan kes.
“Sebab itu kami tertanya-tanya empat itu lagi dari mana,” katanya
Tambahnya penduduk perlu mendapat maklumat yang jelas supaya dapat menerima alasan untuk melanjutkan PKPD selama empat minggu lagi.
Beliau juga menjelaskan, kumpulan aktivis dan penduduk yang mengadakan protes pada Sabtu lalu juga bertindak demikian untuk membolehkan suara mereka didengar.
“Demo aman dibuat bukan untuk penduduk kampung Muhibbah tapi mnyeluruh. Kami mahu suara kami didengar.
“Tiada unsur rusuhan mahupun buat kacau.. cuma ingin didengar,” katanya.
Tujuh lelaki itu ditahan kerana cuba melakukan demonstrasi berhampiran sekatan jalan raya PKPD Kampung Muhibbah Raya.
Dalam kejadian pada 3.20 petang itu kumpulan pemuda bermotosikal tersebut berdiri di sekatan jalan di kawasan bulatan Sekolah Kebangsaan Gabungan sambil memegang pelbagai poster.
Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas berkata kesemuanya disiasat bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman, dan Seksyen 25 Ordinan Darurat 2021.
Antara yang ditahan adalah aktivis sosial Mukmin Nantang, Mohd Azwan Irwan dan penduduk kampung yang tinggal di dalam kawasan penguatkuasaan PKPD.
Penahanan tersebut mendapat kecaman pelbagai pihak antaranya NGO Bersih yang berpendapat ia melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara.
Sementara itu seorang rakan kepada aktivis yang enggan dinamakan berkata kesemua yang ditahan dibebaskan pada petang ini.
Beliau berkata maklumat yang diterima pihak polis memutuskan untuk tidak menyambung reman terhadap mereka.
Beliau turut membidas penahanan tersebut berkata tindakan itu tidak wajar dan adil kerana yang ditahan hanya ingin menyuarakan hak mereka.
Seorang wanita yang merupakan isteri kepada seorang aktivis, Hazia Linggam, 26, turut meluahkan kekecewaan .
Hazia berkata suaminya, Abdul Razak Junid yang merupakan peniaga kedai makan tidak berniat untuk melakukan kekacauan tapi hanya mahu menyampaikan kesusahan penduduk.
Mereka semakin terdesak kerana tidak dapat bekerja disebabkan pelaksanaan PKPD sehingga ada yang terpaksa membuat catuan makanan kerana dalam kesusahan, katanya.
“Sebab penduduk sini ramai yang bekerja dengan upah harian jadi kalau sehari tak bekerja tidak adalah duit.
“Jadi dari mana datangnya duit untuk beli makanan. Suami saya cuma ingin menyuarakan hal itu dan ia dilakukan secara aman tapi tak sangka polis tangkap mereka” katanya.
Bagaimanapun Hazia kini lega apabila suaminya akan dilepaskan pada jam enam petang ini.
“Peguam saya kata suami saya dan yang lain akan dilepaskan jam enam ini, jadi saya menunggu suami di rumah,” katanya. – 27 April, 2021.
Komen