Kumpulan masyarakat sivil kecam sindiran pengganas Hadi


Raevathi Supramaniam

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata hampir semua sektor awam, swasta, termasuk sekolah dibenarkan dibuka semasa darurat tetapi hanya Parlimen digantung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2021.

KUMPULAN masyarakat sivil hari ini mengecam Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana menggambarkan mereka yang menentang darurat sebagai lebih teruk daripada pengganas, menegaskan Covid-19 masih berleluasa walaupun darurat dikuatkuasakan.

Mereka berkata darurat, yang dikuatkuasakan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin didakwa untuk mengekang penyebaran wabak, tidak demokratik, dan Hadi yang merupakan ahli Parlimen, sepatutnya menyedari hal ini.

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata hampir semua sektor awam, swasta, termasuk sekolah dibenarkan dibuka semasa darurat, hanya Parlimen yang digantung.

“Ini membolehkan kerajaan PN (Perikatan Nasional) mentadbir negara dengan keputusan tanpa dipantau oleh badan perundangan kerajaan atau bahkan badan kehakiman, kerana Artikel 150 (8) menggugurkan hak mahkamah untuk mencabar darurat.

“Walaupun Hadi Awang sebahagian daripada kerajaan PN, sebagai seorang ahli Parlimen beliau sepatutnya memahami pentingnya Parlimen untuk menjadi semak dan imbang yang berkesan.

“Berkata Parlimen akan menjadi penghalang dalam memerangi Covid-19 adalah penghinaan terhadap institusi dan rakyat yang memilih ahli Parlimen,” kata Fann.

Parlimen digantung sejak pengisytiharan darurat pada 12 Januari. Walaupun mendapat kebenaran Yang di-Pertuan Agong bersidang semasa darurat, PN gagal memanggil Parlimen bersidang.

“Sangat jelas pengisytiharan darurat bermotifkan politik dan bukannya  mengenai masalah kesihatan dan keselamatan,” kata Fann.

Darurat mendapat kritikan hebat kerana ia membolehkan kerajaan meluluskan ordinan dan membelanjakan dana negara tanpa ada semak dan imbang daripada Parlimen.

Sejak pelaksanaan darurat, Malaysia melaporkan peningkatan jumlah jangkitan dan kematian baharu dengan Kementerian Kesihatan mengunjurkan kes akan mencapai 3,000 ketika Hari Raya. – 26 April, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen