SEORANG peniaga burger dikompaun sebanyak RM50,000 oleh polis kerana didakwa berniaga melebihi had waktu pada Ahad.
Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, memaklumkan dia sedang menyiapkan tempahan pelanggan pada pukul 11.10 malam apabila beberapa anggota polis muncul dan mengeluarkan kompaun RM50,000 kepadanya.
“Sudahlah musim PKP (perintah kawalan pergerakan), berniaga pun bukannya laris sebagaimana seperti sebelum ini,” katanya seperti dipetik BH Online.
“Memang saya belum menutup kedai namun meja sudah disimpan. Saya hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pekerja kilang,” tambah Faisal yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu.
Anggota polis tersebut memaklumkan ada laporan mengatakan kedainya itu beroperasi melebihi masa ditetapkan, katanya.
“Memang ketika PKP sebelum ini saya sudah dikenakan kompaun RM1,000, juga berkaitan kesalahan sama.
“Namun saya tidak menyangka kali ini dikenakan hingga RM50,000. Sudah tentu saya tidak mampu membayarnya kerana pendapatan saya hanya dengan menjual burger. Saya merayu agar kompaun ini dipertimbangkan semula, jumlah ini memang terlalu tinggi daripada kemampuan saya,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisoner Abdul Rahim Daud turut mengesahkan kes dan jumlah kompaun itu.
Katanya, untuk kompaun kedai yang berniaga lebih masa atau membuka meja untuk pelanggan atau tidak menyediakan penyukat suhu, memang jumlah kompaun pada kertas saman ditulis RM50,000 iaitu jumlah maksimum.
“Bagi kesalahan individu akan ditulis jumlah maksimum RM10,000. Bagaimanapun, peniaga berkenaan boleh membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Itu cuma dinyatakan jumlah maksimum,” katanya. – 26 April, 2021.
Komen