MALAYSIA akan menggunakan vaksin Covid-19 AstraZeneca kepada golongan berusia 60 tahun dan ke atas, walaupun terdapat laporan kesan sampingan pembekuan darah yang dikaitkan dengan vaksin berkenaan, kata Pengarah Rangkaian Pusat Penyelidikan Klinikal Dr Kalai Peariasamy.
“Risiko pembekuan darah terhadap warga emas berusia 60 tahun ke atas sangat rendah.
“Kita akan gunakan vaksin ke atas kumpulan ini terlebih dahulu sementara mengkaji data daripada negara lain yang menggunakan AstraZeneca kepada kumpulan umur 18, 30 dan 55 tahun,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Dr Kalai berkata berdasarkan data daripada ujian yang dijalankan di UK, Brazil dan Afrika Selatan, vaksin ini menunjukkan keberkesanan ke atas semua peringkat umur serta mereka yang mempunyai penyakit.
Tambahnya lebih lima juta penduduk di Scotland dan majoriti di England yang menerima vaksin koronavirus AstraZeneca berusia 65 tahun dan 70 tahun ke atas.
Penguatkuasa kesihatan British dan Eropah pada 17 April lalu turut mengesahkan vaksin berkenaan selamat untuk semua orang dewasa.
Bagaimanapun Agensi Perubatan Eropah (EMA) tidak menemui kaitan antara vaksin dan pembekuan darah terhadap wanita berusia 60 tahun ke bawah.
Ketika mempertimbangkan untuk menggunakan atau tidak vaksin ini secara tempatan, Dr Kalai berkata 22 pakar termasuk pakar penyakit berjangkit, pakar pediatrik, dan pakar geriatrik telah memberikan data mengenai vaksin coronavirus AstraZeneca kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Beliau berkata jawatankuasa itu kemudian mempertimbangkan tiga faktor: Sama ada penggunaan vaksin akan mengurangkan kemasukan ke hospital; mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU); dan, kematian akibat Covid-19 atau pembekuan darah yang jarang berlaku.
“Panel bersetuju bahawa berdasarkan keseimbangan risiko dan faedah, manfaat menggunakan vaksin melebihi risiko,” katanya.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memberi kebenaran bersyarat pada 2 Mac lalu untuk penggunaan vaksin AstraZeneca. Ia mempunyai kadar keberkesanan 76%, berdasarkan data dari Amerika Syarikat.
Dr Adham turut mengesahkan Malaysia telah menerima 268,800 dos vaksin, yang akan digunakan pada fasa 2 program imunisasi Covid-19 kebangsaan.– 26 April, 2021.
Komen