BILANGAN kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang dijangkiti Covid-19 meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding jumlah dicatatkan sepanjang tahun lalu, kata Menteri Kesihatan Adham Baba.
Beliau berkata dari Januari hingga April 2021, kementerian mencatatkan 23,739 kes positif Covid-19 sementara sepanjang tahun lalu terdapat 8,369 jangkitan dalam kumpulan ini.
Adham berkata penularan di kalangan kanak-kanak tinggi kerana virus mudah menular disebabkan terdapat pergaulan.
“Mana-mana pelajar yang mempunyai gejala seperti demam atau kehilangan deria rasa, tidak perlu datang ke sekolah. Jika ibu bapa mengalami gejala atau sedang menunggu keputusan Covid-19 sebagai individu dalam pemantauan, mereka juga perlu memastikan anak-anak tidak keluar rumah,” katanya semasa sidang media hari ini mengenai pandemik Covid-19.
Adham berkata terdapat kes melaporkan penularan berpunca dari rumah apabila seorang ahli keluarga mengalami gejala tetapi memandangkan anak-anak tiada simptom, mereka dihantar bersekolah dan secara tidak sengaja menyebarkan virus kepada orang lain.
Beliau menambah apa yang lebih membimbangkan adalah beberapa kes indeks dari sekolah berpunca daripada guru.
“Ramai guru bimbang mereka akan dianggap sebagai tidak hadir jika tidak datang ke sekolah. Tetapi jika mengalami gejala, mereka boleh meminta surat dari pejabat kesihatan daerah dan kedatangan tidak akan ditandai sebagai tidak hadir,” katanya.
Beliau berkata surat pekeliling akan segera diedarkan untuk menangani masalah tersebut.
Adham berkata ujian bersasar juga akan dilakukan di sekolah bagi kes Covid-19 di sana.
Sehingga 24 April, sektor pendidikan menyumbang 32.4% kes positif yang dilaporkan, tempat kerja (32.8%), masyarakat (29.4%), aktiviti keagamaan (4.4%) dan pusat tahanan (1.4%).
Kenaikan 83.3% juga dilaporkan dalam kluster pendidikan, daripada 12 kluster kepada 20 dalam tempoh dua minggu terakhir.
Kadar kebolehjangkitan (RO) atau jumlah jangkitan baharu berpunca daripada setiap kes berjumlah 1.12 di sekolah.
Malaysia melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Februari dan fasa 2 bermula pada 5 April.
Sehingga hari ini, sebanyak 1,305,161 dos sudah diberikan dan 800,986 inividu menerima dos pertama vaksin, sementara 504,165 menerima dua dos.
Vaksin hanya diberi kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas. – 26 April, 2021.
Komen