Tidak bertanggungjawab guna KWAN beli vaksin, kata ahli ekonomi


Mohd Farhan Darwis

Putrajaya tidak wajar guna KWAN bagi membeli vaksin Covid-19 dan perbelanjaan berkaitan kerana ia dana untuk masa depan negara, kata pakar ekonomi. – Gambar fail AFP, 25 April, 2021.

PUTRAJAYA tidak bertanggungjawab jika terus menggunakan dana masa depan rakyat dan “untuk anak cucu” setiap kali negara dilanda musibah, kata ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.

Beliau merujuk langkah kerajaan meminda undang-undang untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi membeli vaksin Covid-19 dan perbelanjaan berkaitan.

Pengarah urusan firma perunding DM Analytics Sdn Bhd berkata langkah itu sama seperti kelonggaran yang kerajaan beri kepada rakyat untuk menggunakan simpanan hari tua mereka sendiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata kedua-dua langkah itu akan merugikan negara bagi tempoh jangka masa panjang.

“Kenapa bila negara ada masalah kebelakangan ini rakyat yang terpaksa keluarkan duit sendiri?

“Contohnya apabila pengangguran naik dan ramai hilang kerja, peniaga banyak gulung tikar, kerajaan menggesa rakyat keluarkan sendiri dana hari tua daripada KWSP…dianggarkan pengeluaran yang kesemuanya sekitar RM90 bilon.

“Ini tidak bagus untuk rakyat kerana KWSP adalah simpanan hari tua, tanggungjawab kerajaan memberi bantuan kepada rakyat, bukan sebaliknya,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Putrajaya melalui ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14 April lalu meminda kta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 bagi urusan berkaitan pembelian dan pengurusan proses vaksinasi Covid-19.

KWAN adalah tabung simpanan daripada pendapatan sumber asli negara, yang disumbangkan sebahagian besarnya oleh Petronas, dan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.

Setakat 31 Disember, 2019 terdapat RM16.03 bilion dalam KWAN, seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.

Muhammed menganggarkan tabung itu kini berjumlah RM17 bilion, dan pada kadar pulangan 5%, ia boleh mencecah RM73 bilion dalam tempoh 30 tahun.

“Jika digunakan sekarang, ia merugikan kerana ini duit pelaburan masa depan. Ini tak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau menambah sekiranya kerajaan mahu dana tambahan untuk membeli vaksin Covid-19, langkah sepatutnya ialah mendapatkan kelulusan perbelanjaan tambahan daripada Parlimen dan bukannya menggunakan dana awam atau dana amanah.

“Ini bukan duit kerajaan, ini duit rakyat, dan duit anak cucu kita.

“Kalau guna sekarang bermaksud ia tak boleh diguna untuk masa hadapan. Tak boleh… kepentingan rakyat itu penting.

“Kalau nak guna duit ini kena buka Parlimen, minta di Parlimen,” katanya.

Selama ini belum pernah ada perdana menteri yang menyentuh dana KWAN sejak ia wujud tiga dekad lalu walaupun ketika negara berdepan cabaran ekonomi getir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2021.

“Jika tabung KWAN ini nak digunakan boleh, tetapi mestilah untuk kebaikan generasi akan datang. 

“Jika untuk nutrisi kanak-kanak di mana kita tahu kanak-kanak di Malaysia banyak yang bantut, itu patut, ataupun untuk pendidikan kanak-kanak. 

“Tetapi bukan untuk membeli vaksin, kerana peruntukan untuk membeli vaksin sebanyak RM5bil sudah diluluskan.
 
“Kenapa perlu guna dana KWAN lagi?” soalnya.

PM lain tak pernah buat

Muhammed mengingatkan belum pernah ada perdana menteri yang sanggup menyentuh dana KWAN sejak ia wujud tiga dekad lalu walaupun ketika negara berhadapan cabaran ekonomi getir kerana sedar kepentingannya kepada masa depan.

Beliau memberi contoh ketika Malaysia mengharungi krisis ekonomi pada 1997 dan 1998 serta pada 2008.

“Satu sen tak dikeluarkan (dari KWAN). Tiada perdana menteri dari zaman Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, dan Dr Mahathir sekali lagi… tak guna duit ini.

“Kerana mereka semua ini tahu, ini duit masa depan. Tidak boleh bila ada masalah suruh rakyat guna duit sendiri… ini tak betul, ini tak bertanggungjawab ” katanya.

Tabung masa depan

Muhammed menegaskan KWAN adalah tabung generasi masa depan untuk menampung kekurangan hasil daripada pengeluaran minyak dan gas negara.

“Ini tabung anak cucu kita. Tabung ini tabung amanah, yang diluluskan oleh Parlimen pada 1988 untuk generasi akan datang apabila hasil minyak dan gas berkurangan.

“Kita tidak boleh sesuka hati menguna wang tabung amanah ini,” katanya.

Beliau hairan jika wang untuk pembelian vaksin sudah diluluskan oleh Parlimen dalam Belanjawan 2021, untuk apa lagi kerajaan mahu pecah tabung generasi masa depan.

Tidak wajar

Muhammed berpendapat kerajaan tidak wajar terus mengharapkan kerajaan menggunakan dana simpanan mereka untuk menghadapi kesan Covid-19, seperti mengeluarkan simpanan daripada KWSP.

Katanya, kelonggaran mengeluarkan simpanan KWSP menyebabkan pesara kehilangan hasil pelaburan dana berkenaan dan ramai akan jadi miskin apabila bersara.

“Saya beri contoh, jika RM90 bilion ini dilaburkan selama 30 tahun dan mendapat pulangan 5% setahun, untuk 30 tahun duit itu jadi RM390 bilion. Pulangan saja sudah lebih kurang RM300 bilion.

“Dalam erti kata lain, kalau keluar RM9,000 sekarang pada umur 30, seorang individu rugi RM30,000 apabila bersara kelak.

“Ini sama dengan 30 kali ganda daripada bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN),” jelasnya.

Menurut Muhammed, dalam keadaan semasa adalah lebih baik kerajaan berjimat ataupun meminjam berbanding berterusan menggunakan dana rakyat.

“Lebih murah kerajaan bagi bantuan. Sekarang ini pun kerajaan kalau nak meminjam pun kadar faedah begitu murah, kerajaan boleh pinjam.

“Lebih murah daripada kadar pulangan pelaburan. Potong juga saiz Kabinet yang besar itu, lebih baik gaji mereka digunakan membantu yang miskin,” katanya. – 24 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen