Penduduk pedalaman Sarawak rasa terabai program imunisasi Covid-19


Desmond Davidson

Masalah di Long Semadoh mendapatkan vaksin perti sesama dihadapi penduduk di kawasan pedalaman Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2021.

KIRA-KIRA 2,000 penduduk yang tinggal di penempatan Lun Bawang di Lawas, Sarawak berasa mereka dilupakan dan terlepas program imunisasi Covid-19.

Mereka terlepas untuk mendaftar pada fasa pertama program itu walaupun fasa kedua sudah bermula untuk melindungi orang ramai daripada virus maut yang membunuh 148 orang di Sarawak setakat 23 April.

“Saya masih belum mendaftar. Kebanyakan penduduk kampung yang saya kenali masih belum mendaftar.

“Kami tidak tahu bagaimana dan di mana perlu mendaftar,” kata penduduk kampung dikenali sebagai Singa Buas kepada The Malaysian Insight.

Masalah di Long Semadoh untuk mendapatkan vaksin adalah masalah sama dihadapi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak.

Jumaat lepas, seorang Adun di Baram membuat pendedahan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan peraturan sebuah daerah luar bandar perlu mempunyai 8,000 penerima vaksin sebelum program itu dilaksanakan di kawasan terbabit.

Adun Telang Usan Dennis Ngau berkata sukar untuk mendapatkan senarai 8,000 penerima berikutan masalah logistik yang dihadapi.

Ngau berkata KKM perlu mencari alternatif lain yang sesuai dengan situasi di kawasan pedalaman Sarawak.

Singa mengadu tentang kegagalan pihak berkuasa menemui mereka di Long Semadoh.

“Tiada siapa yang memberi maklumat kepada kami tentang program imunisasi ini,” kata Singa.

“Mungkin ada yang sudah mendaftar seperti ketua kampung atau staf kesihatan klinik. Saya tidak pasti.

“Tapi ketua kampung kami, staf klinik atau mereka dari pejabat daerah tidak memberi sebarang maklumat kepada kami.

“Saya tidak tahu kenapa tapi saya pasti ramai lagi penduduk yang belum mendaftar.”

Mereka termasuk ibu bapa Singa yang berusia 70-an dan seorang anak perempuannya berusia 18 tahun.

Dia berkata isterinya yang tinggal dan bekerja di Ba Kelalan, lebih jauh ke dalam dari Baram, mungkin masih belum berdaftar.

Long Semadoh terdiri daripada enam kampung terletak di kawasan tinggi dan menjadi tarikan pelancong yang gemarkan aktiviti luar. – 25 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen