LEBIH kurang lapan pekerja terbunuh dan beratus-ratus berjaya diselamatkan setelah tanah runtuh melanda wilayah Himalaya yang terletak berhampiran sempadan China di utara India, kata pegawai.
Enam orang berada dalam keadaan kritikal di hospital setelah pihak berkuasa menggunakan helikopter mengambil pekerja yang terperangkap di daerah Chamoli, Uttarakhand.
Runtuhan tanah salji itu dipercayai berpunca dari glasier di Himalaya pada Jumaat, dua bulan selepas glasier pecah di wilayah sama menyebabkan lebih 200 maut.
Ketua daerah Chamoli berkata operasi menyelamat dan bantuan diteruskan di Lembah Niti, dekat dengan sempadan China.
Ratusan pekerja sedang membina jalan di situ bagi meningkatkan infrastruktur ketenteraan India di sepanjang sempadan.
“Setakat ini lapan mayat telah ditemui dari lokasi kejadian,” kata Swati S. Bhadoriya, majistret daerah Chamoli, kepada AFP.
Pegawai itu berkata lebih daripada 385 pekerja telah dipindahkan ke tempat selamat.
Usaha menyelamat dihentikan pada lewat Jumaat kerana hujan lebat dan salji melanda wilayah itu sejak Isnin.
Rakaman video yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa menunjukkan runtuhan salji besar di sebuah gaung telah menutup sebahagian besar jalan di lereng gunung.
India sedang melakukan pembangunan infrastruktur secara besar-besaran, termasuk jalan raya di kawasan pergunungan itu, bagi meningkatkan hubungan ke perbatasan Himalaya dengan China.
Pakar menyalahkan pembinaan itu menyebabkan tanah runtuh.
Wilayah Himalaya secara ekologinya sensitif dan secara teruk terkesan oleh pemanasan global dan perubahan iklim, dengan ratusan glasier di daerah itu mencair pada kadar yang membimbangkan.
Sekurang-kurangnya 202 orang terbunuh pada Februari setelah ledakan glasier menyebabkan batu dan tanah jatuh ke lembah di daerah sama.
Banjir itu membantai jalan raya, jambatan dan dua projek tenaga hidroelektrik, selain mengambus sejumlah pekerja. – AFP, 24 April, 2021.
Komen