MALAYSIA telah memperketat peraturan masuk ke dalam negara buat pelancong luar bagi mengekang penyebaran varian Covid-19 baharu, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Pertahanan itu berkata, antara garis panduan itu adalah membuat ujian saringan tiga hari sebelum perjalanan, tempoh kuarantin dipanjangkan dari 10 hari menjadi 14 hari dan pelancong perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), undang-undang dan peraturan ditetapkan kerajaan.
“Mereka juga perlu mengambil ujian saringan kedua pada hari ke-10 kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata ini bagi mencegah penyebaran varian baharu dari pelancong yang pulang dari negara dijangkiti dengan varian Covid-19 yang berbeza.
Katanya, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), buat masa ini ada tiga jenis Varian Yang Membimbangkan (VOC), iaitu B.1.351 pada awalnya dilaporkan di Afrika Selatan, B.1.1.7 di United Kingdom dan B.1.1.28 atau P1 di Brazil dan Jepun.
Ismail Sabri berkata banyak negara melaporkan virus SAR-CoV-2 VOC jenis baharu.
“Beberapa varian ini telah dikesan di Malaysia, seperti varian B.1.351 atau varian Afrika Selatan.
“Melihat perkembangan jenis VOC baharu di banyak negara luar, dikhuatiri varian ini akan dibawa oleh pelancong yang melancong ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, sebagai langkah untuk mencegah penyebaran jenis VOC baharu, kerajaan telah menetapkan sejumlah garis panduan buat pelancong yang baru tiba dari negara yang ada virus VOC. – 24 April, 2021.
Komen