PEREKA grafik Fahmi Reza ditahan polis atas dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menerusi satu hantaran yang disiarkan di laman Facebooknya.
Sumber Bukit Aman mengesahkan penahanan tersebut yang dilakukan oleh pegawai polis Dang Wangi.
“Ya, saya mengesahkan bahawa kita telah menahan Fahmi Reza,” kata sumber polis itu tanpa mengulas lanjut.
Beberapa hari lalu, Fahmi menyiarkan satu gambar wajah Raja Permasuri dengan kapsyen bertulis “Dengki ke” di Facebook.
Tindakannya itu dipercayai merujuk kepada perbualan antara Raja Permaisuri dan seorang individu di laman Instagram selepas baginda disoal sama ada cef istana menerima suntikan vaksin Covid-19 yang tidak diiktiraf.
Raja Permaisuri membalas ‘Dengki ke” kepada pertanyaan individu tersebut.
Susulan kejadian itu, pengguna media sosial mula menggunakan tanda pagar #dengkike yang menjadi trending di media sosial.
Raja Permaisuri kemudiannya menyahaktif Instagram baginda sebelum mengaktifkan semula akaun tersebut dengan kata-kata motivasi.
Ahli Parlimen Pasir Mas Fadhil Shaari membuat laporan polis dengan dakwaan Fahmi telah menghina institusi diraja.
Baru-baru ini portal berita berpangkalan di Hong Kong Asia Sentinel mendakwa Yang Dipertuan Agong mendapatkan suntikan vaksin buatan China Sinopharm dari seorang putera diraja dari UAE.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menafikan dakwaan tersebut yang disifatkan sebagai tidak berasas kerana semua vaksin yang dibeli oleh kerajaan perlu melalui prosedur ketat.
Salah seorang doktor diraja yang dinamakan dalam laporan berita itu turut menafikan bahawa beliau terlibat memberi suntikan kepada Yang Dipertuan Agong dan keluarga baginda. – 23 April, 2021.
Komen