PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau sedia untuk bersemuka dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dengan harapan ia mampu meredakan krisis nuklear membabitkan Pyongyang.
Kenyataan Trump itu reaksi terbarunya selepas sekian lama saling berperang mulut dengan Jong-un, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap perang nuklear antara kedua-dua negara.
Dalam percutian rasminya ke Camp David, Trump berkata beliau percaya rundingan mampu menyelesaikan pelbagai isu.
“Saya tidak akan teragak-agak melakukannya dan saya tidak ada masalah berhubung perkara itu,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, persetujuan itu tidak bermakna rundingan terbabit akan dilakukan tanpa syarat.
Korea Utara dan Korea Selatan masing-masing bersetuju berunding secara rasmi dan Trump berharap untuk melihat perbincangan itu lebih daripada sekadar membincangkan penyertaan Pyongyang dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan.
“Saya mahu melihat perbincangan berkenaan lebih daripada hanya membincangkan Sukan Olimpik. Kami juga akan turut serta pada masa yang sesuai,” katanya. – AFP, 7 Januari, 2018.
Komen