Raja Jordan bebas 16 tahanan


Raja Jordan Raja Abdullah II (depan) dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak istana mengarahkan 16 individu yang ditahan atas dakwaan terbabit konspirasi menjatuhkan kerajaan dibebaskan semalam. – Gambar AFP, 23 April, 2021.

JORDAN semalam membebaskan 16 individu yang ditahan atas dakwaan terbabit konspirasi menjatuhkan kerajaan, kata pendakwa raya negara itu.

Pembebasan tersebut atas permintaan Raja Jordan Raja Abdullah II. 

Dua suspek utama, iaitu bekas ketua istana Bassem Awadallah dan bekas utusan khas ke Arab Saudi Sharif Hassan Zaid masih ditahan, kata Brigadier Jeneral Hazem al-Majali.

Katanya, Raja Abdullah mengarahkan 16 individu berkenaan dibebaskan meskipun siasatan masih berjalan. Majali tidak menjelaskan lanjut sama ada mereka menerima pengampunan penuh atau pembebasan sementara.

Kesemua mereka, termasuk Awadallah dan Zaid, disiasat kerana “mengancam keamanan dan kestabilan Jordan”.

Terdahulu, Raja Abdullah dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak istana berkata beliau mengarahkan pihak berkuasa membebaskan ‘saudara’ yang diperdaya, dianiaya dan diheret dalam hasutan ini’.

Arahan pembebasan juga supaya 16 individu berkenaan dapat bersama keluarga secepat mungkin sempena Ramadan, tambah kenyataan itu.

Stesen televisyen negara Al-Mamlaka dan agensi berita Petra melaporkan Raja Abdullah mengarahkan demikian selepas didakwa dilobi tokoh-tokoh penting Jordan, yang menggesa beliau supaya bertolak ansur.

“Awadallah dan Zaid tidak dibebaskan kerana peranan mereka dan tahap hasutan yang berbeza berbanding 16 individu yang dibebaskan,” kata Majali.

Seramai 18 suspek ditahan pada 3 April lalu selepas pihak berkuasa umum berjaya menggagalkan satu konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan. – AFP, 23  April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen