Pemimpin DAP nafi wujud konspirasi parti Cina


Bernard Saw

PEMIMPIN akar umbi DAP menolak dakwaan Lim Kit Siang mengenai pakatan rahsia “solidariti Cina” antara kepimpinan parti itu dengan MCA dan Gerakan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa adalah mustahil bagi parti lawan MCA dan Gerakan untuk melantik ahli DAP untuk tujuan tersebut.

Tambah mereka Lim berkemungkinan besar membuat komen tersebut dengan mempertimbangkan adanya pemilihan dalam parti yang mana beliau berusaha untuk mendapatkan sokongan.

Lim mungkin berharap parti “liberal” menentang ahli-ahli yang mahu DAP mengekalkan fokus “Cina”, kata mereka.

Ronnie Liu yang merupakan Adun Sungai Pelek berkata beliau tidak pernah mendengar ada pihaknya yang hanya akan bekerja untuk kepentingan masyarakat Cina.

“Saya mendengar ucapan seperti itu daripada orang-orang dari MCA dan Gerakan,” katanya.

Liu juga menegaskan bahawa sejauh yang beliau ingat, hanya pemimpin MCA dan Gerakan yang mengemukakan gesaan tersebut pada waktu dahulu terutama MCA semasa kepimpinan Lee San Choon.

Kenyataan itu dibuat lebih 40 tahun yang lalu ketika Lee menjadi presiden MCA pada 1970-an.

“Mereka bercakap (perpaduan Cina) pada masa itu tetapi sejak itu mereka tidak mengutarakannya,” katanya.

Liu juga merujuk pada ucapan yang dibuat oleh bekas naib presiden Gerakan Goh Cheng Teik yang mencadangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Cina pada 1990-an.

“Mustahil DAP bercakap tentang hal ini kerana kita bercakap mengenai perpaduan rakyat Malaysia dan tidak akan bercakap mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata DAP mungkin meminta persatuan dan kumpulan pendidikan Cina bergabung tetapi tidak meminta “perpaduan besar” orang Cina.

Liu menambah tidak ada bukti untuk menyokong tuduhan Lim bahawa anggota parti tertentu terlibat dalam “operasi rahsia” dan beliau juga (Lim) tidak memberikan senarai anggota DAP yang terlibat.

Beliau juga berkata penyokong DAP tidak akan menyokong hujah untuk “perpaduan besar” orang Cina., dan bahkan menyifatkan tindakan ini sebagai “membongkar jenama sendiri”.

Awal minggu ini Lim berkata ada gerakan “perpaduan Cina” secara diam-diam untuk menyahut seruan politik “perpaduan Melayu”, menyokong bahawa pada Pilihan Raya Umum Ke-15, pengundi Cina perlu memilih calon Cina yang baik tanpa mengira parti politik.

Inspirasi gerakan ini adalah dari MCA dan Gerakan yang berharap dapat bergabung dengan anggota DAP yang bersetuju dengan pendekatan ini, kata Lim.

Propaganda pemilihan parti

Sementara itu beberapa akar umbi DAP yang lain berkata bahawa kenyataan Lim mungkin berkaitan dengan mengawal pengundi dalam pemilihan parti yang akan datang, dengan beliau menyasarkan beberapa pencabar dalam pemilihan parti.

Seorang pemimpin akar umbi berkata ini adalah masa sensitif bagi parti kerana DAP berdepan pemilihan parti dan mungkin pilihan raya umum, dengan semua orang berusaha menjadi sebahagian daripada kepimpinan baharu.

Bekas Adun Pandamaran Eric Tan yang memulakan kempen “menggulingkan Lim” dalam pemilihan parti juga setuju bahawa ini hanya strategi pemilihan oleh ahli politik veteran.

Beliau berkata dakwaan Lim adalah untuk memastikan pengikutnya akan menang pada pemilihan parti.

Tan bagaimanapun memutuskan untuk tidak memberi komen sama ada seseorang harus atau tidak menyokong idea “perpaduan besar” orang Cina., memilih untuk melindungi diri sendiri sebagai penyelesaian terbaik.

“Ini adalah perangkap, menunggu orang lain masuk ke dalamnya. Komen akan dikira. Selagi anda bercakap, anda akan ditipu. Abaikan, dan anda tidak akan masuk ke dalam perangkap,” katanya.

Beliau juga mengkritik Lim kerana menipu anggota parti yang “jujur, setia dan bersemangat” pada masa lalu.

Berikutan kenyataan pertamanya mengenai “perpaduan Cina” pada 19 April, Lim menjelaskan pada keesokan harinya bahawa beliau tidak merujuk kepada sesiapa dalam DAP yang turut serta dalam gerakan itu.

Beliau juga berkata anggota parti “tidak bersekongkol dengan MCA dan Gerakan”.

Kenyataan asal Lim menyebut mengenai gerakan rahsia yang menurutnya mempersoalkan kewajaran wakil rakyat bukan Cina dari DAP mewakili kawasan pilihan raya tertentu.

Gerakan itu juga menurutnya mendakwa kawasan terbabit sepatutnya ditandingi calon Cina. – 23 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen