Arab Saudi tahan 11 putera


ARAB Saudi menahan 11 orang putera yang membantah langkah berjimat cermat negara itu dan mereka mungkin akan dibicarakan, lapor sebuah laman sesawang berkaitan kerajaan, Sabq hari ini.

Sabq berkata putera itu yang tidak dinamakan melakukan bantahan di istana diraja di Riyadh, Qasr al-Hokm membantah tindakan kerajaan tidak lagi membayar bil air dan elektrik keluarga diraja.

Mereka juga meminta “pampasan kewangan” selepas salah seorang sepupu mereka dihukum kerana kesalahan yang tidak dinyatakan.

Putera itu dipindahkan ke penjara kawalan ketat, Ha’ir di ibu kota negara itu “sementara menunggu perbicaraan”, kata Sabq yang memetic satu sumber tidak dinamakan.

Katanya lagi, putera tersebut “dimaklumkan tentang kepincangan permintaan mereka tetapi enggan meninggalkan Qasr al-Hokm”, menyebabkan pengawal istana masuk campur dan menahan mereka.

AFP cuba menghubungi pegawai Arab Saudi tetapi masih tidak menerima kenyataan rasmi.

Arab Saudi memperkenalkan beberapa langkah berjimat cermat sejak dua tahun lalu bagi meningkatkan pendapatan dan memotong perbelanjaan negara ketika harga minyak dunia jatuh menjunam menyebabkan negara itu berdepan defisit kewangan besar.

Tindakan negara itu untuk mempelbagaikan ekonominya yang selama ini bergantung kepada minyak juga dikaitkan dengan penahanan lebih 200 orang putera pada November dalam operasi membanteras korupsi besar-besaran diketuai oleh Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, anak raja dan pewaris takhta negara itu.

Kebanyakan yang ditahan ditempatkan di Hotel Ritz-Carlton di Riyadh yang diubah menjadi penjara mewah.

Raja Salman hari ini juga mengumumkan bantuan dan pengecualian cukai kepada rakyat Saudi, terutama sekali dalam sektor ketenteraan dan perkhidmatan awam.

Organisasi Buruh Antarabangsa menanggarkan 36.3% rakyat Saudi berusia antara 15 hingga 25 tahun tidak bekerja. – AFP, 6 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen