YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima mengadap anggota jawatankuasa merayu penamatan proklamasi darurat pada satu tarikh yang belum ditetapkan, kata pengerusinya Khalid Samad.
Ahli Parlimen Shah Alam berkata perkenan itu dimaklumkan oleh Istana Negara dalam sepucuk surat kepadanya hari ini.
“Walaupun tarikh untuk menghadap belum lagi ditentukan, kami yakin satu tarikh akan ditetapkan seberapa segera untuk membolehkan kami semua menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan petisyen rayuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yakin tarikh mengadap itu akan diatur segera kerana “kesan buruk darurat semakin ketara hari ke hari.”
Jelas Khalid, surat dari Istana Negara itu ditandatangani oleh setiausaha sulit kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Nazim Mohd Alim.

Beliau merakamkan junjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah atas perkenan untuk menerima pihaknya mengadap yang disifatkannya sebagai keprihatinan Tuanku.
“Patik-patik semua menjunjung kasih di atas kesediaan Tuanku Yang di-Pertuan Agong bertemu kami,” katanya.
Jawatankuasa itu pada pertengahan Mac melancarkan petisyen untuk mendesak Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat yang diisytiharkan berkuat kuasa pada 11 Januari hingga 1 Ogos ini.
Jawatankuasa itu pada Selasa menyerahkan surat permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong kepada wakil Istana Negara.
Penyerahan surat itu disertai oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Mereka disertai beberapa ahli Parlimen pembangkang antaranya Teresa Kok dari DAP serta Maria Chin Abdullah dan Fahmi Fadzil dari PKR.
Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak ikut sama kerana hadir ke satu program di kawasan parlimennya di Port Dickson.
Petisyen mendesak tamat darurat setakat ini ditandatangani lebih kurang 40,000 orang. – 22 April, 2021.
Komen