Perbicaraan kes SRC International adil, kata Sithambaram


Hailey Chung Wee Kye

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun mendapati Najib Razak bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 April, 2021.

PERBICARAAN kes seleweng dana SRC International membabitkan Najib Razak dijalankan dengan adil dan mengikut undang-undang yang sah, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram menegaskan pembelaan diberi peluang yang adil dalam membela bekas perdana menteri.

Sithambaram berkata demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil pada pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International. 

Pasukan peguam bela Najib sebelum ini berkata pendakwaan sering mengubah hala tuju perbicaraan.

Menurut mereka pendakwaan bertanyakan soalan-soalan yang tidak relevan semasa menyoal balas saksi pembelaan serta cuba membina kes baharu yang tiada kena mengena dengan pertuduhan.

Sithambaram dalam hujahnya pada prosiding rayuan Najib hari ini menyangkal dakwaan tersebut.

Pembelaan sebaliknya cuba menghalang mahkamah menerima bukti baharu yang timbul semasa sesi soal balas saks, katanya.

“Ini cubaan licik untuk mengecualikan bukti yang relevan dan boleh diterima dalam rayuan.”

Sithambaram berkata bukti tersebut menunjukkan Najib tahu mengenai RM42 juta yang masuk ke dalam akaunnya dan menggunakan dana SRC untuk keperluan peribadinya.

“Semasa pertuduhan, pembelaan berkata Jho Low memanipulasi akaun Najib tanpa pengetahuannya.

“Namun semasa pembelaan, Najib berkata beliau mengarahkan Jho Low memastikan ada cukup dana dalam akaun sebelum mengeluarkan cek.

“Hujah pembelaan terdesak dan tidak berasas,” katanya.  – 22 April, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen