MAHKAMAH Agung Rusia hari ini menolak rayuan ahli politik pembangkang, Alexei Navalny untuk membatalkan keputusan menghalangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Presiden Mac depan menentang Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Pada 31 Disember, Mahkamah Agung mengekalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat yang Navalny tidak boleh menjadi calon kerana sabitan penyelewengan yang didakwa pembangkang mempunyai unsur politik itu.
Ditentang oleh tidak ramai calon, Putin dijangka akan terus menang penggal ke empatnya pada pilihan raya Mac depan, menjadikan beliau pempimpin Rusia terlama berkuasa sejak Josef Stalin.
Media Rusia melaporkan yang pasukan kempen Navalny akan berusaha membatalkan keputusan itu.
“Kami bukan sahaja akan merayu penghakiman Mahkamah Agung hari ini di Presidium tetapi juga di Mahkamah Perlembagaan Rusia,” kata wakil Navalny, Ivan Zhdanov kepada agensi berita Interfax.
“Secara teori, Navalny masih berpeluang bertanding dalam pilihan raya, tetapi dalam reality peluang itu tidak lagi wujud,” tambahnya.
Navalny yang sudah memulakan kempennya di seluruh Rusia sejak beberapa bulan lepas berhujah di depan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat mendakwa keputusan menghalangnya daripada bertanding menjadikan pilihan raya itu tidak sah.
Halangan itu menyebabkan pemimpin berusia 41 tahun itu menggesa rakyat negara itu memboikot pilihan raya tersebut.
Navalny yang memulakan kempen besar-besaran menerusi blog dan akaun YouTube memperjuangkan pencegahan korupsi di negara itu, mengadakan beberapa perarakan besar-besaran di seluruh Rusia tahun lepas yang menyaksikan penglibatan ramai anak muda.
Beliau juga menggesa penyokongnya untuk turun ke jalanan sekali lagi pada 28 Januari depan. – AFP, 6 Januari, 2018.
Komen