Lelaki cedera parah diserang kerana hutang kawan 


SEORANG pembantu kedai mengalami kecederaan parah akibat diserang dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah restoran di Jelutong, di George Town semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10.30 pagi semasa lelaki berusia 20 tahun sedang itu sedang bekerja di restoran milik ibunya, sebelum didatangi dua suspek yang terus menyerangnya.

Beliau berkata dua lelaki itu tiba dengan menaiki sebuah kereta, dan terus pembantu kedai berkenaan sehingga dia mengalami kecederaan putus saraf serta salur darah di bahagian tapak tangan kiri dan kedua lutut kaki, di samping cedera di kepala dan badan akibat terkena parang.

Menurutnya siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kerana masalah berkaitan hutang rakan pembantu kedai berkenaan, yang telah menghilangkan diri.

“Lelaki itu (mangsa) sering didatangi beberapa suspek yang menuntut hutang, malah serangan semalam bukan kali pertama kerana dia pernah didatangi empat lelaki untuk menuntut hutang dua bulan lepas,” katanya ketika dihubungi di George Town hari ini.

Beliau berkata mangsa kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan menggunakan senjata.– Bernama, 21 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen