HUJAH Najib Razak yang tandatangannya mungkin dipalsukan pada dokumen penting SRC International adalah pembelaan yang direka kemudian, kata pihak pendakwaan kepada Mahkamah Rayuan hari ini.
“Ini adalah pembelaan yang direka kemudian bagi membantah penemuan mahkamah pada akhir kes pendakwaan yang beliau adalah ejen dan pengarah bayangan SRC,” kata ketua pasukan pendakwa V Sithambaram.
Ia termasuk dokumen ditandatangani Najib dan dihantar ke AmBank bagi pemindahan RM27 juta kepada Permai Binaraya Sdn Bhd dan RM5 juta kepada Putra Perdana Construction daripada akaunnya sendiri.
“Perayu dan pemegang amanahnya tiada pertikaian dengan AmBank mengenai pemindahan ini pada waktu itu.
“Dokumen ini digunakan bagi transaksi berjuta-juta tanpa satu pun protes adalah pengesahan keaslian semua dokumen yang menjadi pertikaian,” kata peguam itu.
Sithambaram berkata demikian pada pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.
Keputusan itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai tahun lalu berhubung tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.
Najib kini diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.
Keaslian tandatangan Najib pada tujuh dokumen yang dipertikaikan adalah menjadi perhatian semasa kes pembelaan pada peringkat perbicaraan kes.
Najib kemudian ingin mendapatkan laporan pakar tulisan tangan untuk mengesahkan tandatangannya sendiri kerana beliau tidak dapat mengenal pasti walaupun dokumen asli diperlihatkan. – 21 April, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen