.jpg)
TULISAN ini mungkin sudah anti klimaks. Sudah ramai yang menulis tentang ribut calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri Pakatan Harapan (PH). Ada yang menulis menyokong cadangan gabungan “dua doktor” – Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ramai yang mengolah kekuatan Dr Mahathir. Ramai juga yang menolak kedua-duanya kerana sudah tua dan bermacam alasan lagi.
Lebih mengujakan, ada pandangan yang mahukan calon PM dan TPM daripada kalangan orang muda. Syoklah kalau dapat yang muda apalagi kalau ganteng. Pastinya menyegarkan, sihat, lincah dan bertenaga.
Sebenarnya yang lebih mustahak lagi bukanlah calon PM dan TPM itu muda atau tua tetapi soalan yang perlu kita semua tanyakan, adakah calon-calon itu mewakili politik lama atau politik baru?
Politik lama adalah politik yang telah dilembagakan parti pemerintah Umno selama hampir tujuh dekad semenjak penubuhannya yang direstui penjajah Inggeris sebelum kemerdekaan lagi.
Politik Umno/Barisan Nasional (BN) telah tua, setua usia pemerintahannya yang telah merajai 13 pilihan raya sebelum ini. Ketuaan Umno menyebabkan ia tidak mahu berubah dan struktur kekuasaan separa autoritarian itu menjadikannya sombong, sekaligus membuka peluang untuk korupsi.
Misalnya, sederetan skandal rasuah dan penyelewengan kuasa yang sudahpun menjadi pengetahuan umum, skandal kewangan 1MDB dan Jho Low atau skandal Felda dan Isa Samad.
Politik baru adalah politik yang demokratis, terbuka dan telus. Lebih penting lagi masalah rakyat dapat diselesaikan dan kepentingan umum diwakili.
Kita boleh bermimpi dengan seribu impian TN50 tetapi kita tidak dapat lari daripada masalah kos sara hidup, kenaikan harga barang dan kehilangan serta berkurangnya sumber pendapatan.
Lebih seronok apabila Umno/BN tumpang sekaki masuk jarum. Siang malam mereka berhujah menolak cadangan calon PM dan TPM Pakatan Harapan. Cukup jelas mereka mati-mati menolak Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah.
Memang sahlah mereka jaki dengan cadangan gabungan “dua doktor” ini.
Contohnya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dilaporkan media berkata cadangan Dr Mahathir calon PM berkemungkinan mencetuskan krisis dan perebutan kuasa dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti pembangkang.
Khairy berkata keadaan itu boleh berlaku kerana difahamkan ada dalam kalangan kepimpinan veteran Pakatan Harapan tidak setuju dengan cadangan itu.
Kebetulan muncul juga suara dari geng Pakatan Harapan yang menari mengikut gendang yang dipalu Khairy. Seolah mengiyakan apa yang asalnya hanyalah khabar angin yang berniat jahat.
Kita juga belum lupa kenyataan yang dikeluarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengenai Dr Wan Azizah ketika episod Langkah Kajang dulu.
Portal berita melaporkan Hadi Awang berkata tentangannya ke atas cadangan untuk mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor bukan disebabkan faktor jantina. Sebaliknya, ia berdasarkan faktor kebolehan presiden PKR itu.
Kata ahli parlimen Marang itu, Dr Wan Azizah tidak boleh dan tidak mampu mengendali pemerintahan kerajaan negeri Selangor yang menurut beliau memerlukan seorang yang kuat untuk jaga negeri Selangor.
Seolahnya Dr Wan Azizah seorang yang lemah dan tidak berupaya, walhal inilah insan yang telah menerajui bahtera PKR dan agenda reformasi Malaysia selama hampir dua dekad.
Bukannya mudah untuk menerajui PKR yang bukan sekadar multi kultur dan kaum, malah multi segala-galanya. Dan kini Dr Wan Azizah juga adalah ketua pembangkang di Parlimen, malah sempat diejek perdana menteri ketika pembentangan bajet 2018. Beliau hanya senyum. Cukup tabah dan sabar.
Saya ingin tegaskan di sini, kepimpinan Dr Wan Azizah adalah kepimpinan yang teruji. Beliau graduan terbaik Royal College of Surgeon, universiti perubatan di Ireland itu dan rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah pingat emas MacNaughton-Jones pada 1977.
Beliau dengan teguh melalui badai politik negara. Bermula sebagai doktor di pusat perubatan Universiti Malaya, dalam masa yang sama ibu dan suri rumah, kemudiannya terpaksa melalui krisis politik susulan pemenjaraan suaminya Anwar Ibrahim.
Dua puluh tahun dulu, benar Dr Wan Azizah cuma seorang doktor, ibu dan suri rumah kepada timbalan perdana menteri, tetapi kini beliau dari sudut pengalaman politiknya setanding dengan ketua umum kita yang terpenjara.
Beliau telah bersama-sama membawa kita semua kepada kemenangan pembangkang pada 2008, 2013 dan juga pada PRU14 mendatang ini
Tetapi jangan lupa, beliau telah melalui saat terbaik dan Dr Wan Azizah juga pernah mengharungi onak duri, malah tragedi dalam perjuangan.
Pada PRU 2004, selepas Dr Mahahir meletakkan jawatannya, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi menang mandat paling besar dalam sejarah Malaysia. PKR cuma tinggal satu kerusi dan kerusi itu adalah Permatang Pauh. Dr Wan Azizah tidak goyah mengharungi sangat getir itu, melalui Parlimen yang sepi dengan rasa hormat terhadap wanita.
Beliau tahan lasak, tak mudah tunduk kalah, seperti Ratu Putih dalam Alice in Wonderland, bangkit daripada kehancuran melawan Ratu Merah. Pengalaman itu menjadikan beliau daripada pelengkap Anwar Ibahim kepada seorang pemimpin yang lengkap dan dapat berdiri dengan sendirinya.
Di gelanggang politik yang kotor, jijik dan memualkan Dr Wan Azizah mengungguli sosok orang baik yang super bersih, cekal, sederhana dan teruji.
Barangkali, Malaysia yang sedang sakit ini memang benar-benar memerlukan rawatan. Syukurlah Pakatan Harapan menawarkan dua orang doktor untuk merawat Malaysia yang luka dan sakit ini. – 6 Januari, 2018.
* Khairul Anuar Ahmad Zainudin adalah ahli PKR, juga bekas aktivis mahasiswa era reformasi yang pernah ditahan ISA dan pernah bertanding di Parlimen Pekan menentang Najib Razak pada PRU12.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen