Darurat punca orang Melayu marah, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad berkata darurat yang diumumkan oleh Agong membuatkan orang ramai marah kerana menderita. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 April, 2021.

ORANG Melayu marah dengan Yang Di-Pertuan Agong kerana mengisytiharkan darurat yang mempengaruhi kehidupan orang ramai, kata Dr Mahathir Mohamad yang menyertai demonstrasi di luar istana hari ini bagi meminta darurat ditamatkan.

Bekas perdana menteri ini berkata bahawa orang Melayu kebiasaannya tidak membenci kerabat diraja.

Bagaimanapun darurat yang diumumkan oleh Agong atas permintaan kerajaan kononnya untuk memerangi pandemik Covid-19 membuatkan orang ramai marah kerana menderita.

“Sekarang kita melihat sentimen orang-orang Melayu dan (hari ini) telah menghantar (memorandum) kepada setiausaha kanan Agong kerana orang-orang Melayu mula marah kepada Agong.

“Kita dapat ikuti dalam media sosial.

“Ini sangat tidak biasa untuk orang Melayu menentang pemerintah kami.

“Agak ramai orang Melayu marah sekarang, kerana mereka menderita akibat darurat ini,” katanya kepada wartawan di luar Istana Negara di Kuala Lumpur.

Beliau berada di sana bagi memberi sokongan kepada Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, sekumpulan ahli Parlimen pembangkang yang memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memperkenankan penamatan darurat dan mengadakan semula Sidang Parlimen.

Dr Mahathir hari ini mengiringi ketua jawatankuasa Khalid Samad dan juga Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam menyerahkan memorandum tersebut.

Pengisytiharan darurat berkuatkuasa pada 11 Januari dan akan berlangsung sehingga selewat-lewatnya 1 Ogos. Kerajaan berkata darurat perlu dilakukan bagi membendung peningkatan jumlah jangkitan Covid-19.

Pengguna Twitter Malaysia menyuarakan perasaan mereka mengenai darurat dan kerabat diraja dengan menggunakan tanda pagar #DengkiKe berikutan laporan dalam talian mendakwa Agong menerima vaksin yang tidak diluluskan.

Laporan oleh Asia Sentinel itu dinafikan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba walaupun pihak istana belum memberikan sebarang maklum balas secara terbuka.

#DengkiKe, masih menjadi trending di Twitter Malaysia dengan 79,200 tweet ketika laporan dibuat.

Ungkapan yang dibuat oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di akaun Instagramnya semalam sebagai tindak balas terhadap seorang pengguna yang bertanya adakah tukang masak yang bekerja di istana juga diberi vaksin. – 20 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen