MCA berdepan cabaran besar hentikan pengaruh Cina DAP, kata penganalisis


Bernard Saw

MCA mahu raih semula sokongan daripada pengundi Cina pada PRU15, selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2021.

MCA mahu mendapatkan semula sokongan yang hilang daripada pengundi Cina pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sekali lagi mempamerkan ia sebagai satu-satunya parti yang dapat melindungi kepentingan kaum itu.

Walaupun pemimpinnya secara diam, yakin akan mampu mencapai matlamat itu, pemimpin DAP dan penganalisis percaya masyarakat Cina masih tidak pasti tentang MCA.

Mereka mendapati MCA tidak berusaha untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina, walaupun komuniti itu turut meluahkan rasa marah terhadap DAP dan Pakatan Harapan kerana gagal menunaikan janji.

Bagaimanapun, MCA berkata ia akan merebut peluang itu untuk memulihkan kekalahannya dan mendapatkan semula pengundi Cina menerusi cara “buat lebih bagus daripada DAP”.

Oh Ei Sun, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata sukar untuk MCA menarik kembali undi Cina pada PRU akan datang.

“MCA kembali menyertai kerajaan dilihat sebagai sekutu dengan parti Islam. Sukar untuk kaum Cina menerimanya kerana mereka dianggap sebagai radikal dan wakil yang ekstrem,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, MCA menerima yang negara ini diketuai kumpulan majoriti etnik tunggal, dan berusaha demi kepentingan kaum Cina dalam dominasi itu.

“Ini termasuk membina sekolah menengah bebas Cina, sekolah rendah Cina, atau membantu pelajar Cina untuk memperjuangkan tempat di university awam, menuntut hak dan faedah untuk mereka.

“Tetapi daripada segi dasar nasional, ia masih tertakluk kepada Umno atau parti politik etnik tunggal yang lain.

Beliau berkata masyarakat Cina juga ada tanggapan yang MCA tidak melawan rasuah secara aktif.

Sebaliknya, DAP pula katanya membawa agenda “Malaysian Malaysia” iaitu menuntut kesaksamaan, di mana itu juga apa yang Cina mahukan.

Oh bagaimanapun berkata DAP juga tidak cukup bertindak daripada segi memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat Cina ketika ia menjadi sebahagian daripada kerajaan PH selama 22 bulan.

Ini termasuk gagal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) – ujian standard untuk pelajar sekolah menengah bebas Cina.

Satu lagi aspek yang kurang ialah pembinaan sekolah rendah dan menengah Cina di bawah kerajaan PH.

Oh berkata sepanjang tiga PRU lalu, kebanyakan orang Cina menyokong DAP dan sekutunya.

Katanya, MCA sebagai parti lebih besar, ada ramai pemimpin di peringkat akar umbi, tetapi wakil rakyat Cina daripada DAP yang lebih ramai.

“Kebanyakan ahli Parlimen DAP masih muda dan bercita-cita tinggi. Anda tidak akan jumla rasuah dalam kalangan mereka. DAP ada imej muda, sementara MCA kelihatan tidak sama rata dan streotaip.”

Pada PRU lalu, kesetiaan masyarakat Cina bertukar secara mutlak kepada PH dan DAP, menyebabkan MCA hanya menang satu kerusi persekutuan.

Semua pemimpin tingginya, termasuk presiden pada masa itu Tiong Lai (Bentong) kalah, kecuali kerusi presiden sekarang, Wee Ka Siong di Ayer Hitam. Parti itu kemudian menang kerusi Parlimen Tanjung Piai pada pilihan raya kecil 2019.

Badan kaji selidik Merdeka Centre mendapati lebih 90% sokongan Cina beralih kepada PH dan DPA pada PRU14.

Sejak itu, banyak perubahan pasukan kepimpinan berlaku dalam MCA, dan kembali memegang kuasa sebagai sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional yang menggantikan PH pada Mac 2020. – 20 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen