Atlet diberi vaksin atas dasar ‘kepentingan nasional’, kata Khairy


Ravin Palanisamy

VAKSINASI Covid-19 diberi kepada atlet kebangsaan yang mewakili Malaysia di pentas antarabangsa atas dasar kepentingan nasional, kata Menteri Penyeleras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata keputusan itu dibincangkan dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Baru-baru ini, terdapat gambar atlet kami menerima vaksin.

“Mereka bukan hanya mewakili negara kita di Olimpik tetapi mereka juga melalui fasa kelayakan.

“JKJAV bersetuju memberikan vaksin kepada individu dan pasukan yang mewakili Malaysia pada pertandingan antarabangsa,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada sidang media mingguannya mengenai program vaksinasi hari ini.

Khairy berkata Malaysia mengikut pendekatan serupa seperti negara lain seperti New Zealand untuk memberikan vaksin kepada atlet.

“Saya melihat New Zealand dan mereka membenarkan atlet ke Olimpik mendapatkan vaksin awal berdasarkan kepentingan nasional.

“Kita di Malaysia juga menggunakan pendekatan sama,” katanya sambil menambah bahawa atlet akan terdedah dengan risiko apabila bertanding di luar negara.

Beliau merujuk kepada kes di mana beberapa pemain badminton disahkan positif koronavirus.

Persatuan Badminton Malaysia mengesahkan enam pemain dijangkiti Covid-19 dan kini diasingkan di Academi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

Selain itu Khairy berkata bahawa hampir setengah juta guru di sektor kerajaan dan swasta akan dimasukkan dalam fasa kedua program vaksinasi.

Beliau berkata jawatankuasa memutuskan bahawa gurus perlu diberi keutamaan berdasarkan penilaian risiko yang dibuat.

“Kementerian Pendidikan sedang menyusun daftar guru untuk kami sertakan dalam program ini sehingga mereka dapat temujanji untuk fasa kedua,” katanya.

Fasa kedua adalah dari April sehingga Ogos melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan berisiko dengan masalah kesihatan dan orang kurang upaya.

Fasa ketiga yang dijadualkan dari Mei 2021 sehingga Februari 2022 adalah untuk individu berusia 18 tahun ke atas yang menyasarkan kira-kira 14 juta orang. – 19 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen