Kita sentiasa bersuara untuk banteras rasuah, kata pemimpin MCA, Gerakan


Low Han Shaun Liow Sze Xian

Presiden MCA Liow Tiong Lai ketika berucap pada program gabungan Gerakan-MCA yang diadakan di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Januari, 2018.

PEMIMPIN parti Cina pakatan pemerintah MCA dan Gerakan berkata, mereka “sering bersuara” menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa berikutan gabungan kedua-dua parti itu hari ini bagi menghadapi pilihan raya umum ke 14. 

Presiden MCA Liow Tiong Lai berkata, kedua-dua pihak sentiasa lantang mengenai salah urus ekonomi dan juga peningkatan kos sara hidup. 

“Kita sering bersuara mengenai perkara ini. Kita perlu faham nilai teras Barisan Nasional, nilai ini sangat penting, dan dalam kepimpinan kita mengambil inisiatif dan lakukan apa yang perlu,” kata Liow pada sidang media di ibu pejabat MCA hari ini. 

Beliau berkata demikian bersama Presiden Gerakan Mah Siew Keong selepas perhimpunan gabungan kedua-dua parti berkenaan bagi membantu BN memenangi pengundi Cina yang beralih kepada pembangkang pada dua pilihan raya lalu. 

“Dalam tempoh dua bulan sebelum ini, kita telah mengadakan lebih lima mesyuarat (bagi membincangkan kepentingan komuniti Cina) mengenai perkara ini, kita akan dedahkan butirannya tidak lama lagi,” tambah Mah.

Penganalisis politik berkata, kedua-dua parti Cina itu dilihat gagal mengetengahkan isu kepentingan pengundi Cina seperti isu tadbir urus yang baik dan kenaikan kos sara hidup 

Kedua-dua parti itu secara tradisinya memberikan undian Cina kepada BN tetai mengalami kejatuhan teruk pada pilihan raya 2013 apabila BN kalah undi popular buat pertama kalinya. 

MCA hanya memenangi satu daripada 37 kerusi parlimen dan 11 daripada 90 kerusi negeri yang ditandinginya manakala Gerakan hanya menang satu kerusi parlimen dan tiga kerusi negeri. 

Pada 2008, Gerakan hilang Pulau Pinang kepada DAP, yang kekal mentadbir negeri itu pada 2013. Gerakan menguasai Pulau Pinang antara 1969 dan 2008.

Liow menambah, MCA dan Gerakan mempunyai agenda jelas dalam “Pelan Tindakan Utama” untuk masyarakat Cina yang akan dijalankan tahun ini. 

“Saya juga mengumumkan semua calon MCA untuk bekerjasama dengan calon Gerakan dan tidak mensabotaj antara satu sama lain. 

“Semua nilai teras dalam BN adalah kuat, dan ini apa yang kita perlukan untuk jangka masa panjang,” katanya. 

Dalam pada itu, Mah yang turut mengulas sama ada parti itu akan mengumumkan calon mereka untuk kerusi Pulau Pinang, berkata mereka masih belum berbincang mengenai calon setakat ini. 

“Kita mempunyai ramai calon yang berkelayakan untuk Pulau Pinang, naun kita masih belum bincangkan dengan calon lagi mengenainya. 

“Kita hanya mengenal pasti calon (untuk bertangding pada PRU) dan Ahad depan, perdana menteri Najib akan melawat Gerakan dan senarai akan ditunjukkan kepada beliau,” katanya. 

Tambah Mah beliau berharap untuk mewujudkan satu parti berbilang kaum, tetapi rakyat Malaysia masih belum bersedia. 

“Dr Mahathir kini boleh tubuhkan parti Bersatu, jadi kamu boleh lihat trend rakyat Malaysia masih belum sedia,” katanya. 

Terdahulu, Perdana Menteri Najib Razak turut menggesa masyarakat Cina untuk “tidak membuang masa dengan pembangkang” dan menggesa masyarakat itu untuk mendgambil lebih banyak jawatan pimpinan dalam kerajaan. 

“Kamu masyarakat yang praktikal, kamu tahu apa yang baik untuk kamu. Ini negara berbilang kaum dan mesti ada kerajaan berbilang kaum. 

“Kita tidak perlu buang masa dengan pembangkang, jangan buang masa dengan pembangkang,” kata Najib. – 6 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • rasuah merupakan musuh utama negara..jd kita perlu bersama-sama berganding bahu memastikan gejala rasuah ini tidak terus merebak sehingga melumpuhkan negara..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan