KEKURANGAN pekerja asing untuk bekerja di bot nelayan menyebabkan bekalan makanan laut mengalami kekurangan sehingga mengakibatkan peningkatan harga bekalan, kata persatuan pemborong makanan laut.
Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur Sing Kian Hock menggesa Putrajaya membenarkan pekerja asing kembali ke negara ini agar nelayan boleh turun semula ke laut.
“Kita akan mematuhi garis panduan kerajaan dan memastikan mereka dikuarantin.
“Tetapi kerajaan perlu membenarkan mereka kembali supaya bot nelayan boleh beroperasi semula,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, setiap bot nelayan memerlukan sekurang-kurangnya 10 anak kapal untuk menangkap ikan.
Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Mac tahun lalu memaksa Jabatan Imigresen menghantar semula sejumlah besar pekerja asing, sekali gus menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam sektor perikanan.

“Operator bot kebiasaannya menggaji pekerja dari Myanmar, Thailand dan Vietnam. Tanpa pekerja, bot nelayan ini tidak boleh ke laut.
“Kira-kira 50 hingga 90% bot nelayan laut dalam tidak boleh keluar menangkap ikan,” katanya sambil menambah penduduk tempatan tidak berminat kerja sedemikian.
Kata Sing, Pulau Pinang merupakan negeri paling teruk terjejas.
“Bot masih belum beroperasi dan nelayan terpaksa membayar duit bot walaupun mereka tidak turun ke laut.”
Selepas setahun berdepan situasi ini, Sing berkata komuniti nelayan berasa diabaikan oleh kerajaan kerana tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah mereka.
“Kita pernah menjadi pengeksport makanan laut tetapi kini kita terpaksa mengimport bekalan itu kerana tidak mencukupi,” katanya.
“Saya berharap pihak berwajib boleh tampil mencari penyelesaian ini. Jika tidak bekalan makanan laut tempatan akan terus berkurangan.” – 17 April, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen