.jpg)
ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat video perjudian yang dibuat bertema sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Abim merujuk kepada iklan yang disiarkan laman perjudian GDBet333 yang telah tular dalam kalangan masyarakat menerusi pelbagai medium media sosial.
Abim menilai penerbitan video tersebut sebagai usaha pihak tertentu untuk menormalisasikan secara terbuka aktiviti perjudian yang diharamkan dalam Islam.
Normalisasi sebegini amat membimbangkan apatah lagi umat Islam turut dikejutkan dengan laporan berita dua pengawal peribadi dipukul sehingga cedera oleh majikan mereka kerana berpuasa.
Kedua-dua keadaan ini amat membimbangkan kerana ia tidak pernah dilaporkan berlaku sebelum ini.
Abim melihat ini menggambarkan seolah-olah berlaku trend peningkatan isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan memberi gambaran bahawa kerajaan gagal bertindak dengan tegas menegakkan serta mempertahankan syiar Islam di negara ini.
Ketegasan ini penting agar kesucian Islam tidak hanya slogan retorik untuk memainkan perasaan umat Islam semata-mata.
Abim menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan serius berhubung dua perkara ini, memandangkan ia membabitkan sensitiviti umat Islam serta kesucian bulan Ramadan.
Abim juga mengajak masyarakat untuk melaporkan sebarang salah laku atau pencanggahan hak asasi manusia, kepada pihak berkuasa.
Abim mengambil kesempatan ini untuk menasihati orang ramai agar tidak melibatkan isu perkauman sempit mahupun menyebar sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti serta menjejaskan keharmonian antara masyarakat Malaysia. – 16 April, 2021.
* Zairudin Hashim naib presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen