.jpg)
NEGARA dikejutkan dengan dua kenyataan dari pegawai kanan PDRM, pertamanya dari ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay yang enggan menyerahkan nama-nama pegawai polis yang bersubahat dengan ‘Geng Nicky’ kepada Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS) kerana mahukan pendakwaan secara terus, dan keduanya kenyataan Ketua Polis Negara yang mempersoalkan keberkesanan JIPS yang dikatakan turut melindungi pegawai-pegawai yang melakukan salah laku (Rujuk laporan Straits Times).
Kedua-dua kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa ada keperluan untuk ditubuhkan satu badan semak dan imbang yang berada di luar dari mekanisma Polis Diraja Malaysia.
Badan ini bukan sahaja perlu bebas dan berasingan dari PDRM, ianya juga mesti mempunyai diperkasakan dengan kuasa yang membolehkan mereka mengambil tindakan secara terus dari menjalankan siasatan hinggalah ke mengambil tindakan disiplin.
Sudah tiba masanya kerajaan hari ini menimbang semula usul menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani perkara ini.
Cubaan kerajaan Perikatan Nasional untuk menggantikan IPCMC dengan Suruhanjaya Pengaduan Polis Bebas (IPCC) dilihat tidak akan menyelesaikan perkara ini memandangkan suruhanjaya ini tidak mempunyai sebarang kuasa secara terus untuk mengambil tindakan disiplin ataupun menjalankan siasatan secara efektif.
Penting untuk kerajaan hari ini mengembalikan kepercayaan rakyat kepada PDRM, sudah tiba masanya pihak Kementerian Dalam Negeri membawa usul bagi memperbetulkan bukan sahaja imej dan persepsi rakyat terhadap PDRM, tetapi memperkenalkan pembaharuan bagi memastikan integriti dan ketelusan ke atas badan-badan penguatkuasaan negara. – 16 April, 2021.
* Zaidel Baharuddin Ketua Penerangan Parti Muda.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen