Tidak perlu audit forensik untuk cari dalang skandal tanah Felda


Ikhwan Zulkaflee

Presiden Anak Mazlan Aliman berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Selamatkan Felda oleh Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) di Felda Sungai Sayong, Kota Tinggi semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Januari, 2018.

KERAJAAN tidak perlu menjalankan audit forensik terhadap skandal penukaran hak milik empat bidang tanah Felda di Kuala Lumpur dalam satu transaksi meragukan pada 2015, kata Pengerusi PKR Johor Hassan Karim.

Sebaliknya, beliau berkata Putrajaya hanya perlu meneliti garis masa kepimpinan agensi kerajaan tersebut bagi mengenal pasti individu bertanggungjawab dalam kes itu.

“Sebenarnya kita beritahu pada Najib tak perlu lantik juruaudit forensik buat siasatan sebulan. Belanja pun besar, yang akan dibayar ratusan ribu,” katanya pada Majlis Pelancaran Jelajah Selamatkan Felda oleh Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) di Felda Sungai Sayong, Kota Tinggi semalam.

Hadir sama Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Naib Pengerusi Amanah Hasanuddin Mohd Yunus, Presiden Anak Mazlan Aliman dan Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Asari.

Hassan berkata garis masa kepimpinan menunjuk kepada bekas pengerusi Felda Isa Samad yang juga bekas pengerusi anak syarikat agensi tersebut, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Isa menjawat jawatan Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017. Beliau juga pengerusi FGV dari 1 Januari, 2011 hingga 19 Jun, 2017 dan menjawat jawatan pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai, 2013 hingga 2017.

“Punca dia senang saja, tak payah audit forensik. Sekarang Shahrir (Samad) ialah pengerusi Felda. Sebelum dia siapa? Isa Samad.

“Semua ini depan mata Perdana Menteri Najib Razak. Ingat, Felda ini di bawah perdana menteri,” katanya.

Keadaan berserak di bangunan Anjung Felda di Jalan Perumahan Gurney off Jalan Semarak, Kuala Lumpur, selepas bangunan itu dikosongkan pada 27 Disember lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Januari, 2018.

Najib semalam dalam kemas kini blognya berkata kerajaan melantik firma audit luar pada Disember lepas untuk menjalankan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dibangunkan oleh Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) atas tanah milik Felda, bagi menyiasat “penipuan kewangan” dalam skandal itu.

“Firma audit ini akan menjalankan audit forensik ke atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan projek itu.

“Ia juga akan menilai semula proses pengawalan yang berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan Felda ke atas FIC.

“Siasatan firma audit ini juga akan membabitkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” tulis Najib dalam blog najibrazak.com.

Hassan berkata skandal itu macam sandiwara filem dan ia seolah-olah menunjukkan dua watak anggota polis dalam menjalankan soal siasat terhadap suspek, dengan seorang agresif manakala seorang lagi berperanan memainkan karakter polis baik.

“Ia seperti dalam filem, ada hero baik dan ada juga watak jahat. Kalau dalam polis, ada dua wajah. Sekarang Najib, Shahrir dan Isa mewakili dua wajah kerajaan Umno dan BN,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata Isa hanyalah “balaci” dalam isu ini kerana beliau perlu melaporkan segala tindak-tanduknya kepada Najib dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Razali Ibrahim yang bertanggungjawab terhadap Felda.

Katanya, Isa selalu berkata yang tindakan diambilnya atas arahan perdana menteri. 

“Sebab itulah dalam kita nak menyiasat Isa, saya minta polis yang sedang menjalankan siasatan dari memorandum yang kita hantar kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), tolong siasat sama adakah Najib terlibat dalam penjualan tanah (Felda) di Jalan Semarak.

Kalau terlibat, tolong tangkap Najib!”

Sementara itu, Mazlan turut menggesa Shahrir mendedahkan butiran perjanjian antara Felda dan Naza TTDI Sdn Bhd dalam projek pembinaan Menara Felda, berhampiran Menara Berkembar Petronas.

“Siapa sebenarnya empunya bangunan ini? Kalau Felda punya berapa lama diperlukan untuk Felda melangsaikan hutangnya dengan Naza TTDI?

“Kita juga nak tahu adakah pembayaran itu dibuat mengikut jadual atau tidak,” katanya sambil menambah ini antara “peluru” untuk membongkar kelemahan pentadbiran Felda.

Empat bidang tanah dianggarkan bernilai lebih RM270 juta milik Felda di Jalan Semarak dipindah milik kepada syarikat dikuasai Synergy Promenade yang beri surat wakil kuasa penuh untuk memajukan tanah berkenaan.

Shahrir dilaporkan berkata Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah agensi itu termasuk membuat laporan polis pada 12 Disember lalu. – 6 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • beri peluang kepada bdn siasatan yg terlibat menyiasat isu felda ini menyelesaikan tugas mereka dahulu..mereka pasti akan menjalankan tugas dgn baik bg memastikan isu felda ini dpt diselesaikan..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan