SEORANG gadis Palestin yang didakwa menyerang seorang tentera Israel di Tebing Barat baru-baru ini dibebaskan dengan ikat jamin, awal pagi semalam.
Nour Tamimi, 20, dibebaskan dari penjara tentera selepas mahkamah menolak rayuan pendakwa untuk tidak membebaskannya.
Bapanya, Naji Tamimi berkata Nour dibenarkan pulang ke kampungnya selepas membayar ikat jamin sebanyak 5,000 shekel (RM5,792) dengan seorang penjamin.
Peguam Gaby Lasky yang mewakilinya berkata, penjamin mengesahkan Nour akan hadir pada prosiding mahkamah 12 Februari nanti.
Nour ditahan 20 Disember lalu, sehari selepas penahanan sepupunya, Ahed Tamimi, 16, apabila video mereka menyerang tentera Israel yang sedang bertugas di Tebing Barat tular di Internet.
Ahed dan ibunya, Nariman Tamimi masih dalam tahanan.
Kepulangan Nour disambut meriah oleh ahli keluarga dan Gabenor Ramallah, Laila Ghanam. – AFP, 6 Januari, 2018.
Komen